SESB Digesa Sedia Pelan Alternatif Hadapi Isu Bekalan Elektrik

david-tan-persatuan-pengguna-bijak.jpg

David Chan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) digesa menyediakan pelan tindakan alternatif bagi mengatasi masalah kemampuan menyediakan bekalan elektrik kepada rakyat.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, SESB tidak lagi boleh bergantung kepada kemampuan sedia ada memandangkan keperluan elektrik semakin hari semakin meningkat.

Menurut beliau, persatuan sendiri berasa kesal apabila pihak SESB seolah-olah tiada perancangan kukuh untuk menghadapi musim-musim sukar terutama ketika cuaca panas sekarang ini sehingga terpaksa membuat catuan bekalan elektrik.

“Kita memahami masalah yang terpaksa dihadapi oleh SESB apabila penggunaan elektrik meningkat ketika musim panas atau gelombang haba meningkat di rantau ini.

“Namun keadaan seperti itu boleh dielakkan jika SESB mempunyai pelan tindakan ketika berhadapan dengan krisis seperti ini memandangkan tindakan mencatu bakal memberi ketidakselesaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau mengulas laporan mengenai SESB mula melaksanakan catuan bekalan elektrik di beberapa daerah di Sabah berikutan peningkatan permintaan tenaga akibat cuaca panas ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Mohd Yaakob Jaafar berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi menangani kemungkinan ketidakcukupan tenaga disebabkan rizab tenaga yang rendah.

Kata Mohd. Yaakob kemungkinan itu boleh berlaku jika ada loji penjanaan tenaga mengalami masalah luar jangka yang menyebabkan bekalan tenaga ke rangkaian Grid Sabah terjejas.

 

David berkata, SESB mesti melaksanakan tenaga boleh diperbaharui dalam menghadapi perubahan cuaca ekstrem masa kini.

“Saya fikir usaha ini mesti disegerakan dengan membina lebih banyak ladang solar sendiri, tidak ada guna jika menjemput pelabur luar jika kosnya lebih tinggi yang terpaksa ditanggung SESB berbanding IPP.

“Untuk pelaburan jangka panjang, tenaga solar dan stesen simpanan tenaga lebih memberi pulangan seolah-olah kita dapat menyelesaikan dua masalah sekali gus,” katanya.

Beliau memberikan contoh bagaimana usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Sarawak yang telah melaksanakan BESS (Battery Energy Storage System) bagi meningkatkan keupayaan bekalan elektrik terutama ketika masa puncak penggunaan.

Katanya, rakyat tentu sekali bergantung penuh kepada SESB untuk mendapat bekalan tenaga elektrik yang menyeluruh dan stabil.

“Selepas berpuluh-puluh tahun sudah tiba masanya kita menyediakan perkhidmatan bekalan elektrik yang stabil kepada rakyat. Kita harap tiada pihak yang terpinggir dan berhadapan dengan kesukaran serta ketidakselesaan ketika musim panas dan gelombang haba yang melanda sekarang ini,” katanya. – Jesselton Times

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top