Kementerian Kesihatan cadang wujud tiga lagi Wellness Hub di Sabah

Datuk-Lukanisman-Awang-Sauni.jpg

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni menyempurnakan Majlis Perasmian Wellness Hub Lahad Datu. (Kredit foto: FB KKM)

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Kementerian Kesihatan bercadang untuk mewujudkan tiga lagi Wellness Hub di Sabah bagi mendorong amalan kualiti hidup sihat dalam kalangan penduduk di negeri itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata penubuhan pusat itu bagi memperkukuhkan lagi usaha kementerian itu dalam memastikan komuniti mendapat manfaat daripada Wellness Hub yang disediakan mengikut keperluan dan status kesihatan komuniti di daerah terbabit.

“Kementerian Kesihatan melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam 10 tahun pelaksanaan agenda sehingga tahun 2030 ini komited menjadikan rakyat Malaysia sihat melalui pembudayaan gaya hidup sihat.

“Misalnya, masalah berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan salah satu faktor yang harus diberi perhatian, kajian menunjukkan bahawa masalah berat badan di Malaysia meningkat daripada 28.2 peratus kepada 32.4 peratus manakala masalah obesiti daripada 13.4 peratus kepada 15.7 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wellness Hub Lahad Datu di sini, semalam (Sabtu).

Dalam pada itu, Lukanisman berkata sehingga kini terdapat 33 Wellness Hub di negara ini termasuk empat di Sabah dan satu daripadanya terletak di sini berdekatan Hospital Lahad Datu yang beroperasi sejak empat bulan lepas.

Beliau berkata, Wellness Hub Lahad Datu merupakan pusat kesejahteraan kesihatan yang pertama bagi Zon Pantai Timur Sabah dengan menawarkan 13 pakej perkhidmatan pelbagai peringkat umur termasuk penilaian faktor risiko kesihatan, pengurusan berat badan (IFitEr), (program) kekal sihat dan bicara sihat.

“Selain Lahad Datu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga menerima peruntukan untuk menaik taraf Wellness Hub di Kudat dan Keningau,” katanya lagi. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top