Sabah tidak naikkan tarif air

shahelmey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak bercadang menaikkan kadar tarif air sedia ada di negeri ini walaupun tarif air di Semenanjung akan dinaikkan mulai bulan depan.

Ini bermakna pengguna di Sabah kekal menikmati tarif seperti dikenakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ketika ini.

Menurut BHarian, perkara itu oleh dimaklumkan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

“Sabah belum ada cadangan menaikkan tarif air lagi buat masa ini,” katanya ketika dihubungi BHarian di sini, hari ini.

Shahelmey berkata demikian ketika ditanya sama ada tarif air di Sabah juga akan dinaikkan sejajar kenaikan tarif air di Semenanjung dan Labuan dengan purata 22 sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari depan.

Ketika ini, pengguna domestik individu di Sabah dikenakan tarif serendah 30 sen bagi setiap meter padu air untuk penggunaan sehingga 10 meter padu.

Kadar tertinggi tarif air pengguna domestik individu di Sabah ialah RM1.80 satu meter padu bagi penggunaan yang melebihi 60 meter padu.

Selain itu, pengguna di kawasan pangsapuri atau kondominium yang dilengkapi fasiliti pukal pula dikenakan RM1.30 bagi setiap meter padu, manakala 90 sen satu meter padu bagi yang tiada fasiliti pukal.

Difahamkan tiada perubahan tarif air di Sabah sejak puluhan tahun lalu.

Pada masa ini, Sabah masih berdepan masalah air berikutan ketidakcukupan bekalan hingga menyebabkan berlaku gangguan yang kerap di kebanyakan kawasan, termasuk di ibu negeri.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top