KOTA KINABALU: Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada usia 87 tahun awal pagi tadi di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki, Abdul Taib menghembuskan nafas terakhirnya di Kuala Lumpur pada jam 4.28 pagi tadi, dan akan dibawa ke Kuching sekitar jam 1 tengah hari ini.
Jenazah Allahyarham akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak pada jam 8 pagi esok untuk penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham Abdul Taib dijadualkan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, berhampiran kediamannya selepas solat Zohor, esok.
Berikutan pemergian pemimpin ulung Sarawak itu Kerajaan Negeri mengisytiharkan perkabungan selama dua hari pada 21 dan 22 Februari.
Abu Bakar melalui kenyataan rasmi itu berkata, semua majlis rasmi yang melibatkan acara-acara hiburan hendaklah ditangguhkan.
“Bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang,” katanya.