KOTA KINABALU: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan membuat kehadirannya dirasai pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang, walaupun parti itu tidak berhasrat meletakkan calon.
Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata parti itu tidak menuntut sebarang kerusi tetapi mahu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Matlamat akhir adalah untuk menyumbang ke arah pembangunan untuk rakyat. Kami tidak masuk politik untuk menuntut kerusi… itu bukan pendekatan kami.
“Semoga pihak lain tidak melihat kami sebagai ancaman sebaliknya sebagai parti yang boleh memberi nilai tambah demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri parti itu di sini pada Sabtu.
Beliau juga berkata Pejuang bersedia bekerjasama dengan parti lain di Sabah, termasuk di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketika ditanya sama ada Pejuang akan bertanding pada pilihan raya Sabah akan datang, Mukhriz berkata selepas pilihan raya negeri yang lalu, mereka telah memperkukuhkan diri dan belajar daripada pengalaman lalu.
“Kita perlu ‘ukur baju di badan sendiri’. Sebelum ini kita akan letak calon tetapi sekarang kita tumpukan kepada kawasan yang kita mendapat sokongan lebih kuat,” katanya.
Mukhriz mengakui landskap politik Sabah berbeza dengan Semenanjung dan memerlukan perubahan dalam strategi parti.
“Di semenanjung kita sangat terbuka kepada Perikatan Nasional. Malah secara langsung atau tidak langsung kita akan bantu kempen mereka untuk PRK Kuala Kubu Baharu,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pejuang Sabah Nicholas Sylvester.