Sambutan Hari Kebangsaan 2022: Lebih 50,000 Banjiri Dataran Merdeka

perbarisan.jpg

Acara perbarisan antara atur cara majlis yang menarik perhatian pengunjung. -Unit foto JAPEN

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan 2022 berlangsung meriah di Dataran Merdeka pada Rabu dengan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung.

Tepat jam 8 pagi, acara dimulakan dengan ketibaan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama jemaah menteri.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kemudian mencemar duli berangkat tiba bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Nyanyian lagu “Hormat Diraja” dan “Negaraku” berkumandang diiringi 14 das tembakan meriam oleh Rejimen Artileri Diraja diketuai Leftenan Kolonel Mohamad Asri Che Wil.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kemudian menyempurnakan pemeriksaan kawalan kehormat utama Panji-Panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Di Raja yang diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.

Bacaan ikrar kemudian dipimpin oleh Atlet Pecut Negara, Muhammad Azeem Fahmi diiringi 65 peserta Keluarga Malaysia mewakili pelbagai kaum dan etnik diikuti laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali.

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan khas padang formasi kira-kira 600 peserta dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Acara diteruskan dengan perbarisan dan perarakan kontinjen kenegaraan melibatkan 15,971 peserta, 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, 369 aset darat dan 68 aset udara.

Jam 10 pagi, acara yang dinantikan pengunjung iaitu pancaragam, perarakan kenderaan berhias dan aset-aset agensi pertahanan mula mengambil tempat.

Antara kontinjen yang terlibat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Paling mencuri tumpuan pengunjung, perarakan aset ketenteraan antaranya kereta kebal PT-91M (Pendekar), kereta perisai tempur Adnan AVR, Adnan AVF dan Adnan AMB dan misil Exocet MM40 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Selesai perarakan, Dataran Merdeka kemudian digegarkan dengan pertunjukan udara melintasi pentas utama.

Acara melibatkan melibatkan formasi pesawat Sukhoi SU-30 MKM, F/A-18D Hornet, B.A.E Hawk, pesawat pengangkut A400M Airbus, C130 Hercules serta tujuh jenis helikopter milik agensi kerajaan.

Tepat jam 10.45 pagi, acara diakhiri dengan keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebelum persembahan pentas oleh barisan artis tempatan antaranya Sufi Rashid, Nikki Palikat, Nadia Hasnan diserta Kumpulan Keseniaan Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara. – AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top