Pampasan RM20,000 Kes Kematian Serangan Buaya Di Sabah

buaya.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pampasan bernilai RM20,000 untuk kes kematian yang disebabkan oleh serangan hidupan liar boleh dipohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Persekutuan.

Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata syarat orang yang membuat tuntutan pampasan adalah warganegara Malaysia sahaja.

Tambahnya, pengesahan berhubung kes terbabit perlu dibuat menerusi Jabatan Hidupan Liar (JHL) terlebih dahulu manakala bagi kecederaan lain nilai pampasan bergantung kepada kehilangan anggota akibat serangan.

“Untuk makluman semua, kes kematian yang diakibatkan oleh serangan hidupan liar boleh memohon pampasan daripada JKM, Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam susulan kes kanak-kanak dibaham buaya di Lahad Datu baru-baru ini.

“Nilai pampasan adalah RM20,000.00 dan Jabatan Hidupan Liar akan membuat pengesahan. Bagi kecederaan lain, nilai pampasan bergantung kepada kehilangan anggota akibat serangan. Syaratnya, orang yang membuat tuntutan pampasan adalah warganegara Malaysia,” tambahnya.

Mengulas mengenai kejadian kes kanak-kanak dibaham buaya, Kementerian Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar Sabah menerusi JHL Sabah, telah membuat pemburuan buaya di sekitar kawasan serangan buaya berkenaan.

Jelas Jafry sekiranya penduduk kampung di kawasan perkampungan terbabit sentiasa menggunakan sungai dalam aktiviti harian maka buaya yang dilihat satu kilometer di hulu dan satu kilometer daripada sempadan kampung akan diburu.

“Untuk menjamin keselamatan sepenuhnya mungkin sukar berikutan aktiviti manusia juga mungkin memasuki kawasan buaya yang dahulunya diketahui tiada buaya. Semua buaya yang dilihat berada di kawasan ada aktiviti manusia akan cuba ditangkap atau ditembak mati,” katanya.

Khamis lalu satu video tular mengerikan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki hilang selepas disambar buaya dalam kejadian di perairan Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin di Lahad Datu.

Dalam kejadian berkenaan, bapa kanak-kanak terbabit parah akibat diserang buaya manakala kanak-kanak terbabit tidak ditemui sehingga kini.

Berdasarkan kajian, terdapat 2,886 ekor buaya berdasarkan tinjauan antara 2007 dan 2020 yang meliputi 10 sungai utama di Sabah.

Sungai-sungai tersebut ialah Sungai Kinabatangan, Sungai Segama, Sungai Silabukan, Sungai Klias, Sungai Padas, Sungai Bengkoka, Sungai Paitan, Sungai Kalumpang, Sungai Labuk dan Sungai Serudong.

Sungai Kinabatangan mempunyai bilangan buaya tertinggi iaitu 1,368 ekor.

Berdasarkan rekod saintifik, buaya betina akan matang dan boleh bertelur pada usia 12 dan 14 tahun dan akan bertelur sekali setahun.

Bilangan telur setiap bertelur adalah antara 40 hingga 90 biji.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top