Setiausaha Agung UPKO angkat sumpah sebagai Senator

SUA-Upko-angkat-sumpah-senator.jpg

(Kredit foto: Nabalu News)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Nelson Angang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) berkuat kuasa 16 Mei 2024 hingga 15 Mei 2027.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Timbalan Yang Dipertua Negara Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nelson yang juga Ketua Bahagian UPKO Beaufort adalah mantan majistret dan kini pengamal undang-undang yang mempunyai firma guaman sendiri.

Beliau juga pernah menjawat Pengerusi Saham Amanah Sabah sebelum ini dan turut bergiat aktif dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Sabah.

Turut hadir menyaksikan majlis angkat sumpah itu ialah Presiden UPKO yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Ewon merakamkan penghargaan kepada Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan Senator daripada UPKO dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju dengan pelantikan itu.

“Saya berharap suara UPKO bertambah lantang di Parlimen selepas ini dan juga perkhidmatan kepada rakyat, khususya di Sabah dapat diperkasakan lagi melalui pelantikan Datuk Nelson sebagai Senator.

“Saya akan terus berazam memastikan kesinambungan perjuangan parti ini relevan sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah, Nelson menyatakan penghargaan kepada Ewon yang mencadangkan beliau menjadi Senator.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UPKO Datuk Ewon kerana menyokong dan mencadangkan nama saya sebagai Ahli Dewan Negara.

“Saya akan menggalas tanggungjawab besar ini sebaik mungkin, bukan sahaja membawa pelbagai isu yang diutarakan oleh rakyat Sabah tetapi juga isu-isu nasional yang perlu dibawa di Dewan Negara,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top