Ketepikan Politik, Utamakan Rakyat – Shafie

shafie.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19, semua pemimpin politik di negara ini harus mengenepikan agenda politik masing-masing bagi membantu negara kembali pulih.

Apabila Parlimen berisidang, jangan ada pemimpin yang mengungkit mengenai majoriti kerana keadaan pandemik di negara ini masih belum stabil.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pada masa ini kepentingan rakyat dan negara ini jauh lebih penting berbanding perbalahan politik yang sedang berlaku.

Beliau berkata, ekonomi negara boleh dibangunkan sekiranya kerajaan yang ada mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dalam keadaan politik yang strabil.

Atas sebab itu, apabila 80 peratus rakyat di negara ini sudah menerima vaksin, Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan kerana kerajaan yang ada pada hari ini sangat tidak stabil hingga membawa kepada budaya pembelian wakil rakyat.

Jika dilihat negara lain seperti Iran dan Perlu juga sudah melaksanakan pilihan raya dalam keadaan pandemik Covid-19 dan Malaysia juga boleh melaksanakannya apabila imuniti berkelompok telah dicapai.

“Gelombang politik sekarang menyaksikan perpecahan sedang berlaku dan mereka tidak boleh terus memerintah dalam keadaan perpecahan dalam kalangan masyarakat sedang berlaku. Keadaan ini membimbangkan saya.

“Kita tidak boleh membiarkan pemimpin terus didorong oleh pangkat dan jawatan kerana ketika ini perkara yang perlu diberi keutamaan adalah membina semula negara dan membantu rakyat yang ada.

“Atas sebab itu, usaha menyatukan umat di negara ini perlu diberi perhatian tanpa mengambil kira perbezaan pandangan politik dan agama masing-masing. Rakyat Malaysia perlu bersatu jika ingin melihat negara terus maju ke hadapan,” katanya semasa Program ‘Bicara Presiden’ secara langsung menerusi Facebook Warisan Online kelmarin.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali di rantau Asia boleh dilakukan apabila ada penyatuan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, sistem yang ada dalam negara juga perlu distruktur semula untuk membolehkan proses pemulihan ekonomi boleh dilakukan dengan sebaiknya. – BORNEO TODAY

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top