KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri diminta untuk salurkan dana Pembangunan mengikut saluran yang betul.
“Jika cerdik teman berunding, jika bodoh disuruh diarah – peribahasa Melayu ini mengiaskan keikhlasan seseorang untuk membantu”, ujar Ketua Penerangan Parti StarSabah, Datuk Jalumin Bayogoh mengulas tindakan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah yang dimulakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid.
“Apakah rasional penubuhan JKDM yang melibatkan DUN-DUN seluruh Sabah sedangkan kita sudah mempunyai JKKK di setiap kampung?”
“Kita bukannya menolak, jauh sekali membantah usaha serta inisiatif yang di ambil oleh mana-mana pihak, apatahlagi kononnya usaha untuk pembangunan dan kemajuan rakyat.
“Namun, pada masa yang sama, kami juga mahu kerajaan, pemimpin dan rakyat Sabah dihormati,” tegas beliau.
Katanya, umum mengetahui di Sabah sudah ada sistem pentadbiran dari peringkat negeri sehinggalah ke peringkat kampung, jadi sekiranya ada peruntukan untuk kemajuan dan pembangunan untuk rakyat Sabah, ia sewajarnya disalurkan melalui kerajaan negeri.
“Kami inginkan penjelasan tentang perkara ini,” tegas beliau.
“Perlu di ingatkan bahawa, sejernih-jernih air, jika melalui pembuluh yang kotor, tentu kotor juga airnya.
“Jika ikhlas membantu, lakukan dengan cara yang betul, kalau hendak seribu daya, kalau tidak seribu dalih, jangan ada udang di sebalik batu,” tambah Jalumin.
Terdahulu Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai turut membangkitkan persoalan yang sama.
Bangkuai berpandangan bahawa penubuhan JKDM yang dimulakan oleh Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO boleh dianggap mewakili taktik “pecah dan perintah”, yang bertujuan mengukuhkan pengaruh Umno di wilayah ini.
Berita asal: Sabah Baru News