Maritim Malaysia tahan dua bot, sita barangan lebih 160,000 di Tawau

Kepten-Maritim-Shahrizan-Raman-.jpg

Kapten Maritim Shahrizan Raman (Gambar fail BERNAMA)

Kongsi Bersama

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga lelaki kerana melanggar syarat sah lesen dua bot melibatkan sitaan lebih RM160,000 di perairan Inderasabah dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata menerusi rondaan Ops Pluto serta Ops Tiris di perairan itu pada awalnya mengesan sebuah bot nelayan pada 12.15 tengah hari dan didapati dua lelaki Indonesia sedang menangkap ikan di kedudukan 6.8 batu nautika.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki itu merupakan nakhoda dan kru bot masing-masing berumur 24 dan 41 tahun yang kemudian didapati nama nakhoda tidak terdaftar pada dokumentasi bot serta tidak memberitahu penukaran nakhoda,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata 15 minit kemudian pihaknya turut menahan sebuah bot kargo membawa muatan sawit yang dikendalikan seorang lelaki Indonesia berumur 37 tahun, dan pemeriksaan mendapati berlaku kesalahan sama iaitu tiada maklumat penukaran nakhoda bot.

Shahrizan berkata kesemua barang termasuk kedua-dua bot serta muatan bernilai lebih RM160,000 disita selain menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi syarat sah lesen.

Kedua-dua bot bersama muatan serta kesemua kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top