Mari meriahkan Tadau Sukod Wagu (Hari Belia) Majlis Belia KDCA pada 7-8 Okt ini

kdca-youth.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Orang ramai terutamanya golongan muda di seluruh Sabah dijemput memeriahkan Tadau Sukod Wagu (Hari Belia) yang akan dianjurkan oleh Majlis Belia KDCA di Dewan Terbuka KDCA Cultural Village (KCV), KDCA Penampang, pada 7 hingga 8 Oktober ini.

Program yang julung kalinya diadakan ini bertujuan mengumpulkan seberapa ramai anak muda dalam kalangan Bumiputera Sabah.

Pengerusi KYC, Steve Johnny Mositun berkata, sepanjang sambutan besar-besaran ini, masyarakat berpeluang menyaksikan dan menyertai beberapa siri pertandingan yang diadakan, selain dapat menikmati pelbagai jualan daripada gerai-gerai jualan yang ada,.

Antara aktiviti pengisian khas adalah Kempen Menderma Darah, yang diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran tentang kebaikan menderma darah, menanam sifat keperihatinan terhadap penderitaan insan yang memerlukan dan seterusnya meningkatkan kesedaran tentang perlunya mempunyai tubuh badan yang sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

“Kita juga ada pertandingan Mainan Dulu-Dulu dan Sukan Orang Kita bagi menanam semula minat terhadap sukan dan permainan tradisi dulu-dulu dalam kalangan belia,” katanya.

Selain itu, bagi para penggemar seni tarian, turut berpeluang menyertai KYC Talent Dance Show sempena pesta tersebut.

Khas untuk para peminat seni peragaan Cosplay, KYC turut mengadakan pertandingan Cosplay bertemakan Pahlawan dan Pemimpin lagenda Sabah (Warrior Cosplay Competition).

“Bagi peminat anime dan atau mereka yang menjadikan Cosplay sebagai hobi, terdapat satu event menarik yang pasti anda akan enjoy sepanjang dua hari tersebut nanti, yang pastinya memberi kelainan, inovasi, dan mampu menyerlahkan kreativiti belia kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, pada malam 7 Oktober, ramai artis tempatan terkenal Sabah juga akan membuat persembahan menerusi acara Malam Pesta Muda-Mudi, di Pentas Dewan Terbuka KDCA.

“Lebih menarik, kehadiran ramai pempengaruh media sosial sama ada yang terkenal di laman Tik-Tok, Facebook, Instagram atau Youtube juga pastinya lebih menarik para belia untuk turut bersama memeriahkan aktiviti yang dijalankan nanti,”ujar beliau.

Steve menyeru semua belia untuk hadir dan menyokong program berkenaan, di samping menyerlahkan bakat mereka menerusi pelbagai pertandingan yang dianjurkan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lebih lanjut boleh melayari laman sosial Facebook KDCA Youth Council. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top