Isu bilik asrama Kolej Pra-Universiti KPM Tawau diberi perhatian

IMG_20240427_183926.jpg

Nizam (kiri) menerima cendera kenangan daripada Dr. Rabe.

Kongsi Bersama

TAWAU: Masalah kekurangan bilik asrama di Kolej Pra-Universiti KPM Tawau akan diberi perhatian sewajarnya sekiranya ia menjadi keperluan mendesak pelajar di kolej berkenaan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya akan meminta laporan terperinci daripada pengurusan kolej mengenai keperluan menambah asrama di sini.

Katanya, jumlah pelajar di kolej ini sudah semakin bertambah iaitu mencecah seramai 487 orang dan terdapat juga yang datang dari luar daerah.

“Saya difahamkan terdapat dalam kalangan pelajar yang datang dari luar daerah terpaksa menyewa bilik atau rumah disebabkan asrama kolej sudah penuh.

“Justeru, saya akan meminta pihak kolej memberikan laporan dan merujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tawau mengenai isu berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kolej Pra-Universiti KPM Tawau, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Kolej Pra-Universiti KPM Tawau, Dr. Rabe Juhari dan Yang Dipertua PIBG, Amir Kanje.

Mengulas lanjut, katanya, sebagai pimpinan di daerah ini akan cuba membantu sedaya upaya untuk mengatasi masalah berkenaan dengan segera.

“Saya sendiri akan mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan untuk menambah bilang bilik asrama atau menyediakan hostel berdekatan kepada pelajar yang memerlukan sekiranya terdapat keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, nizam berkata, isu pendidikan di daerah ini sememangnya perlu menjadi perhatian kerana pelajar yang ada adalah aset negara pada masa akan datang.

“Saya akan cuba memberikan sumbangan sama ada daripada peruntukan ADUN ataupun peribadi kepada sekolah-sekolah yang memerlukan di daerah ini.

“Kita mahu memastikan semua anak-anak di daerah ini mendapat pendidikan yang sempurna supaya mereka boleh menyumbang terhadap pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Nizam menzahirkan syabas dan tahniah kepada warga Kolej Pra-Universiti KPM Tawau kerana berjaya menganjurkan majlis hari raya ini.

“Majlis ini dilihat sangat bertepatan kerana ia mampu mengeratkan silaturahim antara warga pendidik, pentadbir kolej dan pelajar di sini.

“Saya yakin pendekatan sebegini mampu menyuntik semangat pelajar supaya berusaha lebih gigih bagi memastikan mereka memperoleh keputusan cemerlang dan dapat mengharumkan nama kolej,” katanya.

Terdahulu, Nizam mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk kegunaan dan kegiatan aktiviti Kolej Pra-Universiti KPM Tawau.

— Hamzah Sanudin/Penerangan Gagasan Rakyat

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top