TENOM: Para petani limau bali Tenom disaran mempraktikan amalan standard operasi atau piawaian yang terbaik bagi mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai salah satu pengeluar utama industri limau bali negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Arthur Joseph Kurup berkata demikian ketika merasmikan Kursus Amalan Pemasaran Baik, Standard Dan Kualiti Buah Limau Bali anjuran FAMA Sabah, di sini.
Kursus itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah; Bahagian Kawalan Racun & Perosak Baja, Jabatan Pertanian Malaysia serta MARDI Sabah.
Menurut Arthur Sabah merupakan salah satu daripada pengeluar limau bali utama di Malaysia selain dari negeri Perak.
“Pada tahun 2023, industri limau bali (pamelo) di Sabah mencatatkan hasil sebanyak 268 ribu kilogram bersamaan dengan RM966,000,” katanya.
Tambah beliau, sehingga 7 Mei 2024, Sabah telah merekodkan pengeluaran limau bali sebanyak 134 ribu kilogram bernilai RM527,000 dan ini secara tidak langsung mencerminkan potensi dalam pertanian limau bali untuk diterokai oleh para petani Sabah.
Dalam pada itu, Arthur berpendapat untuk mengukuhkan kedudukan Sabah dalam pengeluaran serta pengeksportan buah limau bali, satu standard piawaian dalam kalangan petani dan pengeluar limau bali tempatan harus diwujudkan selaras dengan konsep PINTAR yang menjadi hala tuju KPKM pada tahun 2024.
Beliau turut menegaskan melalui pengajaran amalan-amalan terbaik dalam pemasaran, matlamat penurunan kadar kerosakan lepas tuai dari 30 – 50 peratus kepada kurang daripada 30 peratus sepanjang rantaian bekalan akan dapat dicapai.
“Ini tentunya membantu mengurangkan kerugian hasil pertanian dan menjadikan industri pertanian lebih berkesan dan efisien,” katanya.
Pada majlis itu Arthur turut menyaksikan sesi menandatangi perjanjian ‘Forward Agreement’ antara FAMA Sabah dengan seramai 22 peserta penanam buah limau bali Tenom.
Melalui perjanjian tersebut, FAMA Sabah mensasarkan pembekalan buah limau bali sebanyak 10 metrik tan/seminggu dan sejumlah 480 metrik tan/setahun dengan kenaikan harga awal sebanyak RM3.80/kg berbanding harga semasa RM3.60/kg.
Arthur percaya dengan bimbingan daripada agensi KPKM di Sabah serta dengan sokongan padu MAFFI Sabah, para peserta tanaman buah limau bali Tenom akan dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan dan seterusnya menjadikan industri ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat di sini.
Hadir sama Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pengarah FAMA Sabah, Sarman Sidno, pegawai-pegawai agensi KPKM di Sabah serta wakil daripada Jabatan Pertanian Sabah.