Syarikat pengeluar kicap di Tawau didenda RM6,500, gagal panggil balik produk di pasaran

tukul-mahkamah.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

TAWAU: SEBUAH Syarikat pengeluar kicap, sos, perasa makanan dan pembungkusan didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan gagal memanggil balik produk (Notice of Recall) Ogos lalu.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin memutuskan hukuman itu selepas Syarikat Haribah Industries Sdn Bhd yang diwakili pengurusnya, Fung Yuan Hing, 51, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, syarikat yang beroperasi di Bandar Sri Indah, di sini, didakwa gagal mematuhi arahan memanggil balik produk di bawah Akta Makanan 1983 seperti yang termaktub di dalam Seksyen 13C(1) Akta Makanan 1983.

Kesalahan itu dilakukan di dua premis berasingan dalam daerah Tawau antara jam 3 petang hingga 4 petang pada 14 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 13C(1) Akta Makanan 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13C (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Tawau Cassidy Kassim manakala tertuduh diwakili Peguam Jhassery P Kang.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan bagi kedua-dua pertuduhan itu sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun menjelaskan denda berkenaan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top