Sabah tidak setuju cadangan perkenal Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam

hajiji-4.jpg
Kongsi Bersama

Kerajaan Sabah menyatakan penolakan kepada cadangan memperkenalkan akta baharu bagi mengekang penyebaran dan pengembangan agama selain Islam.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pendirian itu diambil berdasarkan kepada situasi Sabah yang mempunyai pelbagai kaum dan agama namun tetap hidup aman damai sejak sekian lama.

Walaupun mempunyai pelbagai kaum dan anutan kepercayaan masing-masing, katanya, penduduk Sabah mengamalkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan tiada masalah timbul.

Menurut Hajiji lagi kepelbagaian kaum dan agama itulah yang menjadi tonggak perpaduan rakyat di Sabah.

“Maka Sabah menolak cadangan kerajaan Pusat untuk memperkenalkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam,” katanya semalam.

Dalam kenyataan sama Hajiji menambah Sabah berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tiga hari lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyatakan Putrajaya merancang untuk menggubal empat undang-undang syariah baru, termasuk berkaitan sekatan penyebaran agama lain di Malaysia.

Kata ahli parlimen Pengkalan Chepa itu cadangan tersebut adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan pusat untuk memperteguh undang-undang syariah di Malaysia, terutama di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan cadangan itu belum dibawa ke kabinet untuk dibincangkan.

Katanya sebelum RUU itu boleh dibentangkan di parlimen, ia mesti dipersetujui oleh semua negeri terlebih dulu.

Pada masa sama untuk rekod kebanyakan negeri memangnya sudah mempunyai enakmen yang melarang orang bukan Islam mengembangkan ajaran mereka dalam kalangan orang Islam.

Ketika ini hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang masih belum memiliki undang-undang yang berkaitan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top