Keluarkan Sendiri Makanan Ternakan, Kata CAP

ayam.jpg
Kongsi Bersama

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan kerajaan melihat secara serius keperluan mewujudkan pengeluaran makanan ternakan di dalam negara untuk mengekang isu import  makanan haiwan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa berkenaan perlu segera menjalankan penyelidikan alternatif makanan ayam supaya negara tidak diancam dengan kenaikan harga jagung, soya dan ubat-ubatan yang sekarang ini 100 peratus diimport.

“Kami menyarankan kerajaan benar-benar menilai kembali penggunaan tanah dengan memberi penekanan kepada soal pengeluaran makanan asas.

“Pergantungan kepada import makanan dari luar negara harus diatasi dengan segera,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian terlibat berkenaan kenaikan harga barang dipanggil memberikan penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kos Sara Hidup (NACCOL) bagi mencari kaedah terbaik menangani isu berkenaan.

CAP juga merupakan wakil daripada persatuan pengguna yang turut serta dalam mesyuarat itu untuk memberikan pandangan dari kaca mata persatuan pengguna apa boleh dilaksanakan untuk mengurangkan tekanan harga barang.

Menurut Mohideen, langkah kerajaan membenarkan pihak pasar raya mengimport ayam dari luar negara dengan syarat pematuhan terutama dari segi halal dan kesegaran serta kebersihan adalah satu langkah jangka pendek.

“Namun pendekatan yang terbaik adalah untuk memperkukuhkan pengeluaran dalam negara secara lestari,” katanya.

Tambahnya, CAP turut bersetuju dengan tindakan kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC), sebuah agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk melaksanakan kajian dan siasatan berterusan berkaitan industri ternakan ayam.

“Ia perlu dilaksanakan agar tidak wujud kartel harga serta manipulasi orang tengah dalam industri pengeluaran dan bekalan ayam,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top