MUIS Beku Akuan MyeHalal, Tarik SPHM Syarikat Keluaran Kuih Bulan

kuih-bulan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membekukan akuan permohonan pembaharuan sebuah syarikat pengeluar kuih bulan (moon cake) dalam sistem MyeHalal selain  menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat berkenaan.

Setiausaha MUIS Ramlan Awang Ali berkata tindakan itu dilaksanakan selepas produk makanan kuih bulan yang dkeluarkan oleh syarikat itu mengandungi DNA babi.

“Siasatan terperinci dijalankan selepas isu kuih bulan syarikat ini dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) hasil dari pemantauan yang dilaksanakan oleh jabatan itu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) September lalu susulan dari aduan awam yang dibuat terhadap syarikat berkenaan.

“Pihak MUIS kemudiannya memanggil pihak syarikat pengeluar kuih bulan sebelum mendapati Sijil Halal syarikat itu sudah tamat tempoh pada 15 Mei 2021 dan syarikat itu mengakui kesilapan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya MUIS juga mendapati syarikat ini juga melakukan ketidakakuran Syariah yang berkaitan dengan produk makanan kuih bulan yang dkeluarkan oleh syarikat terbabit.

“Keadaan ini dibuktikan melalui keputusan ujian makmal dari Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bertarikh 1 November lalu yang menyatakan keputusan analisa DNA haiwan bagi sampel kuih bulan keluaran syarikat ini menunjukan terdapat DNA Babi.

“Pelanggaran dan ketidakakuran Syariah ini adalah suatu yang amat serius dan sangat bertentangan dengan dasar Syarak (Islam) kerana melibatkan DNA Babi dalam makanan.

“MUIS kemudiannya mengambil tindakan dengan membekukan akuan permohonan pembaharuan syarikat ini dalam sistem MyeHalal dan menarik balik SPHM syarikat ini,” katanya.

Tambahnya selaras dengan penarik balik SPHM ini, syarikat ini dilarang sama sekali mengunakan SPHM dan logo Halal Malaysia untuk sebarang tujuan perniagaan, publisiti atau lainnya di dalam atau di luar premis dengan nama syarikat ini.

Katanya pihak MUIS juga menasihatkan semua pihak yang mengunakan sijil dan logo halal Malaysia supaya menjaga kepentingan dan sensitiviti masyarakat Islam dalam memastikan makanan, produk atau barang gunaan yang dikeluarkan  sentiasa patuh Syariah. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top