Hampir RM25 Juta Diberi Untuk Pembangunan Kota Belud Tahun Ini

SSK-rasmi-Tamu-Besar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah memperuntukkan hampir RM25 juta bagi melaksanakan projek pembangunan dan kemudahan asas untuk manfaat rakyat di daerah ini tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, di bawah Bajet 2021 Negeri, sebanyak RM17.07 juta diperuntukkan kepada Pejabat Daerah Kota Belud sebagai sebahagian daripada perancangan bagi memastikan objektif dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dicapai.

Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan RM7.9 juta kepada pejabat daerah.

“Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk manfaat rakyat di daerah ini,” katanya pada perasmian Tamu Besar Kota Belud di Dewan Tun Said di sini, pada Sabtu. Ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut memberikan peruntukan khas RM6.5 juta tahun ini untuk kerja-kerja menaik taraf kawasan sekitar Lebak Moyoh yang sering dilanda banjir

Bulatan Lebak Moyoh terletak betul-betul di tengah-tengah laluan utama yang menghubungkan ibu negeri ke bahagian utara Sabah.

“Kerja-kerja menaik taraf ini sudah 64 peratus siap. Saya pasti apabila siap, pengguna jalan raya yang melalui laluan itu akan lebih selesa (memandangkan mereka tidak perlu lagi menghadapi banjir apabila hujan),” katanya.

Ketua Menteri berkata, menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR), Kerajaan telah meluluskan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 32.2 km merentasi daerah itu dari Pituru ke Rampayan.

Pituru disambungkan ke Serusup di Tuaran melalui pakej Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 20.7 km yang dijangka dilaksanakan Disember ini.

Kerajaan juga telah membaiki dan membina 23 daripada 47 sekolah daif di Kota Belud, katanya.

“Kerajaan juga prihatin dengan nasib yang menimpa usahawan pelancongan tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” kata Hajiji.

Kota Belud telah menjadi destinasi pelancongan kegemaran dan antara tarikan utamanya ialah pelancongan desa berasaskan komuniti di Kadamaian yang dimulakan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB)  pada 2014.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong dan memberi bantuan agar sektor pelancongan akan terus maju ke hadapan,” tambahnya.

Pada masa sama, Ketua Menteri mengucapkan tahniah kepada Pejabat Daerah Kota Belud kerana melancarkan Pelan Strategik Daerah Kota Belud 2020-2030.

“Pelan itu akan menjadi panduan kepada semua perancangan pembangunan dan infrastruktur untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penduduk daerah ini, selaras dengan aspirasi SMJ,” kata Hajiji.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang terpinggir daripada rancangan pembangunan itu dan ia akan berjaya dilaksanakan. – Warta Oriental

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top