Pengundi Sabah Meningkat Mendadak: Hajiji Tunggu Penjelasan SPR

hajiji-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan meminta penjelasan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu peningkatan mendadak jumlah pengundi baharu di negeri ini.

“Kita akan dapatkan maklumat dan taklimat daripada pengarah SPR dalam masa terdekat ini untuk mengetahui bilangan pengundi.

“Sesetengah pihak merasa ragu kerana terlampau mendadak…jadi apabila kita mendapat taklimat, penerangan dan penjelasan daripada pengarah SPR barulah kita boleh bagi komen,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen KTYS Kali Ke-25 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pertambahan mendadak jumlah pengundi baharu di Sabah menerusi daftar pemilih direkodkan SPR yang meragukan beberapa pihak terutama parti-parti politik.

Hajiji berkata, pihaknya perlu mendapat penjelasan lanjut daripada SPR terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca kepada isu lonjakan jumlah pengundi berkenaan.

“Perlu ada penerangan lanjut daripada SPR kerana sekarang sistem untuk mendaftar dibuat secara automatik apabila berumur 18 tahun.

“Jadi kita tidak tahu mungkin ada orang yang dulu walaupun lebih 18 tahun…21 tahun mereka tidak mendaftar dan mungkin juga ada (sudah daftar).

“Saya tidak boleh menyatakan sesuatu sehingga ada penjelasan dan penerangan lanjut daripada pihak berkenaan,” jelasnya.

Isu peningkatan mendadak dan meragukan jumlah pengundi baharu di Sabah mendapat perhatian serius terutama pemimpin-pemimpin parti politik di negeri ini.

Baru-baru ini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mendedahkan daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR menunjukkan peningkatan pengundi baharu sebanyak 53.9 peratus.

Katanya, jumlah berkenaan membabitkan jumlah pengundi seramai 1,064,686 orang pada 2008 kepada 1,638,806 orang tahun ini.

Beliau mendakwa lonjakan rekod jumlah pengundi terbabit berkemungkinan berpunca dari skandal ‘Projek IC’ yang sebahagian besar peningkatan itu berlaku antara 2018 hingga 2020 semasa pemerintahan kerajaan Parti Warisan (WARISAN). – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top