KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS menguatkan lagi komitmen untuk terus memperkasakan hubungan kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) selepas mengadakan pertemuan semalam.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan dengan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Alhamdulillah pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam penuh dengan semangat ukhuwwah dan mahabbah. Kedua-dua pimpinan tertinggi ini turut berkongsi citra dan semangat untuk terus memastikan Muafakat UMNO-PAS dipertahan dan diperkasakan.
“Biarlah apa jua tohmahan dan fitnah yang cuba dilontarkan untuk menggagalkannya, yang pasti UMNO-PAS terus kekal muafakat!
Menurut Asyraf antara kata-kata Tuan Guru yang begitu membekas di jiwanya dalam pertemuan itu ialah UMNO dan PAS adalah tunjang kekuatan orang Melayu dan Islam. Kedua-dua pihak kena pastikan tunjang ini terus diperkuatkan demi rakyat dan Ummah!
Selain itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut hadir dalam pertemuan itu menegaskan bahawa parti itu berpegang teguh kepada pendirian keputusan Mesyuarat MKT UMNO sebelum ini iaitu mengukuhkan Barisan Nasional dan memantapkan MN serta menolak DAP dan tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP. – Buletin Asia