ALOR SETAR: Bekas kapten skuad Liga Super Kedah, Baddrol Bakhtiar disebut-sebut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut BHarian, Badroll yang kini beraksi sebagai kapten bersama pasukan Liga Super Sabah FC, dilaporkan bakal mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak profesional bagi menyertai politik tanah air.
Berusia 35 tahun, Baddrol yang berasal dari Sungai Petani, dikatakan bakal membuat pengumuman mengenai masa depannya selepas perlawanan antara Sabah FC dan Sri Pahang yang berlangsung di Stadium Likas malam ini.
Desas-desus mengenai hasrat pemain berusia 35 tahun yang berasal dari Sungai Petani itu untuk terbabit dalam arena politik khususnya di Kedah dikatakan bermula beberapa bulan lalu.
Difahamkan, keputusan untuk bersara daripada bola sepak dan diberi peluang untuk terbabit dalam politik di Kedah adalah dibuat atas cadangan seorang pemimpin politik negeri itu secara peribadi kepada Baddrol.
Dalam perlawanan terakhirnya malam tadi Baddrol membantu Sabah FC menumpaskan Sri Pahang 4-0 di Stadium Likas.