Lebih 150,000 individu daftar sistem PADU di Sabah – DOSM

PADU.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Seramai 153,672 atau 8.9 peratus daripada jumlah penduduk berumur 18 tahun ke atas di Sabah sudah mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat kelmarin, kata Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri Mohd Amri Idris.

Beliau berkata semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu membuat pengemaskinian maklumat isi rumah dan profil individu di sistem PADU yang dilancarkan kerajaan sebagai sumber primer dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.

“Penduduk di Sabah boleh hadir ke enam pejabat DOSM daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau, Lahad Datu serta Kota Marudu bagi pendaftaran PADU.

“Penduduk Sabah juga boleh membuat kemas kini profil di kaunter Pusat Ekonomi Digital (PEDI), pegawai DOSM juga akan berada di kaunter PEDI terpilih untuk membantu orang ramai mengemas kini PADU,” katanya pada Majlis Temu Mesra Media Bersama DOSM Tawau di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kemas kini juga boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman sesawang PADU www.padu.gov.my dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi media sosial PADU, Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM Sabah di aplikasi Facebook serta TikTok.

Dalam pada itu Mohd Amri berkata DOSM turut melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

“OpenDOSM NextGen boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my dan DOSM juga akan menjalankan Banci Pertanian pada Julai 2024 dengan pengguna dipohon melayari https://www.myagricensus.gov.my/ untuk maklumat lanjut,” katanya lagi.

Menurutnya banci pertanian akan ditumpukan di kawasan pedalaman Kunak dan Semporna. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top