KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan subsidi bersasar diesel yang dijangka mampu membawa penjimatan kira-kira RM4 bilion kepada negara setiap tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walau bagaimanapun, kata beliau, sebagai permulaan, langkah itu tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
Katanya, pengecualian itu diberi kerana kebanyakan keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka.
“Di Semenanjung, bagi mengurangkan kenaikan mendadak harga barang, kita menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), termasuk bas, teksi dan bot nelayan tertentu.
“Bagi golongan B40 dan M40 yang menggunakan kemudahan diesel untuk perniagaan kecil atau bidang pertanian, perlombongan, penternakan atau nelayan, (mereka) akan terus dibantu. Maknanya, mereka tidak terkesan daripada kenaikan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam tadi.
Menurut Anwar, penyasaran subsidi diesel itu juga tidak membabitkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing.
“Saya ingin tegaskan, kita naikkan (penyasaram subsidi) tapi tidak bebankan rakyat. Kita naikkan kesannya kepada golongan maha kaya dan orang asing.
“Kalau ada rakyat yang terbeban menggunakan diesel, ada ruang untuk mereka rujuk kepada Kementerian Pengangkutan atau kementerian berkaitan supaya dapat dipastikan penyasaran subsidi diesel itu hanya memberi kesan kepada golongan kaya dan warga asing serta tidak membebankan rakyat,” katanya.
Anwar memberi jaminan kebajikan rakyat akan terus terpelihara dalam menangani kos sara hidup.
“Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.
“Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20,” katanya.
Beliau menegaskan, bukti anjakan pengurusan kewangan negara ini jelas dilihat kerana penjimatan itu dapat digunakan dengan menambah baik bantuan kepada rakyat.
“Antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditambah baik dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta, yakni lebih lima kali ganda ketimbang RM130 juta tahun lalu.
“Kita juga meluaskan bilangan penerima kepada 700,000 dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 ketimbang RM600.
“Selain itu, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan RM2 bilion atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion tahun lalu kepada RM10 bilion tahun ini yang memanfaatkan sekitar sembilan juta penerima bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, bantuan murid sekolah turut ditambah baik apabila bermula tahun lalu, kerajaan memperluas Bantuan Awal Persekolahan kepada semua murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima dengan peruntukan hampir RM800 juta.
Selain itu katanya, Insentif Pengeluaran Getah dinaikkan dua kali daripada RM2.50 sekilogram pada 2022 kepada RM2.70 sekilogram tahun lalu serta RM3 sekilogram untuk tahun ini.
“Kerajaan juga mengambil langkah meningkatkan pendapatan pesawah. Kadar Skim Subsidi Harga Padi ditingkatkan daripada RM360 (2022) kepada RM500 satu tan pada 2023,” katanya.