Kerajaan Hargai Peranan Pemimpin JPKK – Jahid

jahid-2.jpg
Kongsi Bersama

TAMPARULI: Peranan dan tanggungjawab pemimpin Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JPKK)  dalam membantu memudahkan pelbagai urusan di kampung masing-masing sentiasa dihargai kerajaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, usaha dan tindakan badan JPKK di dalam membantu pendaftaran, mengumpul data dan maklumat mengenai mereka yang sudah dan belum divaksinasi, bantuan bakul makanan, serta menguruskan bantuan ‘one off’ COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehinggalah ke hari ini, sangat dihargai.

“Terima kasih kerana andalah yang telah banyak membantu dalam pengurusan kampung di kawasan Tamparuli, sejauh dalam rekod kita setakat ini, JPKK dan kepimpinan kampung telah melaksanakan tugas mereka dengan baik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan program ‘Gotong-Royong Mega Bersama Pemimpin’, anjuran gabungan Pengerusi JPKK dan JKDB Tenghilan, di Tapak Tamu Tenghilan, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Penolong Pegawai Pembangungan (ADDO) Tamparuli, Jefferson Jonathan, Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS), Datin Malianah Ugau, Ahli Majlis Daerah Tuaran, Raisin Gagah.

Katanya, beliau melihat sendiri, ketika kerajaan bertungkus-lumus memastikan proses vaksinasi di seluruh negara berjalan lancar, JPKK telah memainkan peranan penting dalam menyediakan senarai data mana-mana penduduk yang sudah dan belum menerima dos pertama dan seterusnya, untuk memudahkan program outreach bagi menjangkau mereka yang belum divaksinasi.

“Andalah yang telah bertungkus-lumus memastikan penduduk divaksin. Malah, kita yakin bahawa semua data yang paling tepat hanya datang daripada JPKK itu sendiri,” katanya.

Jahid turut membuat cadangan bagi membuat satu lagi pertemuan bersama para pemimpin JPKK pada penghujung Disember nanti, selepas dibawa ke perbincangan selanjutnya nanti.

Katanya, bagi menaikkan lagi semangat kecintaan dan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara, beliau bersama kepimpinan daerah turut bercadang untuk mengadakan satu pertandingan berbentuk keceriaan dan kecantikan dewan di peringkat daerah kecil Tamparuli kelak.

“Tujuannya adalah untuk kita menghargai apa juga yang ada di kampung, khususnya kemudahan balai muhibbah, selagi selamat digunakan, gunakanlah dengan baik,” katanya

Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana selepas Pandemik, inilah kali pertama mereka dapat berkumpul bersama semula di dalam jumlah kehadiran yang lebih ramai, namun masih dalam keadaan terkawal dari segi prosedur operasi standard (SOP).

Bercakap mengenai program itu, Jahid berharap, program sedemikian akan menjadi contoh dan teladan kepada mukim lain, dengan cara pelaksanaan yang berbeza kelak.

“Saya faham dengan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang menjalankan tugasan. Balik nanti, muhasabah diri, tanya diri sendiri adakah kita telah membuat yang terbaik untuk kampung, masyarakat, keluarga dan negara, agar jiwa kita akan lebih tenang dan bersemangat untuk meneruskan tugasan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Penganjur, yang juga Pengerusi JPKK Kampung Molisau Tenghilan, Yemil Eku, menghargai sumbangan dana daripada Jahid bagi membiayai keseluruhan program berkenaan.

 

Antara jabatan lain yang terlibat adalah seperti Majlis Daerah Tuaran, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Jabatan Penerangan Tuaran, RELA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mahkamah Anak Negeri (MAN), dan badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat di sekitar Tenghilan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top