KOTA KINABALAU: Kerajaan Negeri Sabah mengambil pendirian menolak pelaksanaan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) Madani di negeri ini.
Menegaskan mengenai perkara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, inisiatif di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu tidak perlu di Sabah kerana negeri ini telah ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Katanya, Sabah tidak perlu pada satu lagi inisiatif yang akan mengeliru dan memecah belahkan rakyat.
“Kami menolaknya. Dan kami akan menolaknya secara rasmi. Kami juga akan menyampaikan pendirian kerajaan negeri kepada perdana menteri pada 31 (Mei),” katanya.
Kitingan seterusnya berkata sebagai ahli jawatankuasa teknikal MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), beliau secara peribadi akan meminta supaya inisiatif itu tidak dilaksanakan kerana ia tidak dilaksanakan di Sarawak.
“Biarlah ia dilaksanakan di Semenanjung (Malaysia) sahaja,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 di Wisma Pertanian Sabah, di sini, semalam.
Pendirian Kitingan dan kerajaan negeri itu senada dengan beberapa pemimpin tempatan lain termasuk Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang mempersoalkan langkah Putrajaya menubuhkan JKDM.
Ewon dalam kenyataannya dua hari lalu berkata, Sabah telah meminda Ordinan Pentadbiran Luar Bandar bagi pentadbiran kampung bagi memastikan negeri itu hanya mempunyai satu badan pengurusan kampung, iaitu JKKK.
“Sekiranya penubuhan JKDM merupakan satu dasar negara, maka ia harus dilaksanakan di seluruh negara, tetapi di Sarawak dan beberapa negeri lain di Semenanjung ia tidak dilaksanakan,” katanya yang tegas menolak inisiatif itu.