KM Lulus Peruntukan Khas RM3.5 Juta Untuk KDCA

hajiji2.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) diberikan peruntukan khas sebanyak RM3.5 juta daripada Kerajaan Negeri bagi projek pembesaran dewan, gerai makan dan kerja-kerja berkaitan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor meluluskan dan mengumumkan peruntukan khas ini semasa merasmikan Majlis Pembukaan Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hajiji dalam ucapannya berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah -Barisan Nasional (GRS-BN) komited dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar negeri ini.

Katanya, mengambil kira kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM227.4 juta kepada sektor pelancongan di negeri ini dalam Belanjawan Sabah 2022.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM131.93 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta jabatan dan agensi di bawahnya. Ini adalah antara komitmen berterusan Kerajaan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan setiap komponen dalam mewujudkan kelestarian hijau akan dapat diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Ketua Menteri berkata, Sabah juga diberikan penghormatan selaku tuan rumah bagi acara Kongres Taman-Taman Asia kedua yang diadakan di Kota Kinabalu minggu lalu, anjuran bersama dengan International Union for the Conservation of Nature (IUCN).

“Saya menyeru seluruh rakyat untuk sentiasa menjaga alam semula jadi, flora dan fauna yang ada di negeri ini. Seperti yang dilaporkan oleh media, banyak bencana alam berlaku berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh dunia, termasuk di negara kita.

“Keadaan ini sudah pasti turut mempengaruhi hasil pengeluaran makanan yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat,” tambahnya.

Hajiji berkata, pemilihan tema Perayaan Pesta Kaamatan tahun ini, iaitu Kaamatan Monunduan Do Winorun(Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi) amat tepat terutama sekali dengan pelbagai fenomena akibat perubahan iklim dunia pada masa kini.

Katanya, dengan tema itu diharapkan ia dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada semua lapisan masyarakat untuk memelihara dan memulihara alam semula jadi untuk diwariskan untuk generasi akan datang.

Hajiji berkata, Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) merupakan budaya yang diwarisi sejak zaman- berzaman.

Menurutnya, pesta ini bukan sahaja bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim.

Beliau berkata, rakyat Sabah sangat bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai budaya dan seni tradisi yang kaya.

“Saya percaya setelah sebulan pesta ini berlangsung, ia telah memperkukuh dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya.

“Kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa adalah gambaran dan semangat sebenar Keluarga Malaysia yang perlu dikekalkan dan dipelihara selamanya.

“Saya ingin menyeru seluruh rakyat untuk mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat Sabah dan generasi akan datang,” tegasnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top