Selepas Lebih 40 Tahun Penduduk Tiga Kampung Bakal Perolehi Geran Tanah

masiung.jpg
Kongsi Bersama

TONGOD: Penantian lebih 40 tahun penduduk di tiga buah kampung di sini berakhir apabila mereka bakal memperolehi geran tanah pada pertengahan tahun depan.

Lebih 1,000 penduduk di Kampung Kirunggu, Kotodon dan Simpang Entilibon melahirkan rasa terharu sebaik sahaja Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) mula menyukat lot-lot tanah yang bakal diagihkan kepada mereka.

Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah, yang melancarkan program penyukatan Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di kawasan itu berkata, sebanyak 2,300 ekar akan diagihkan kepada penduduk terbabit.

Katanya, satu perkampungan baharu juga akan diwujudkan di kawasan itu yang dijangka akan menempatkan kemudahan asas kerajaan termasuk cadangan jajaran elektrik dan tali air.

Beliau mengingatkan bakal pemilik tanah agar mengusahakan tanah tersebut untuk aktiviti pertanian setelah memperolehi geran dan bukanya dijual atau disewakan kepada orang tengah.

Masiung berkata, sebaik saja tanah berkenaan diwartakan, satu jawatankuasa bertindak akan dibentuk bagi membolehkan pemilik tanah membangunkan tapak tersebut menerusi aktiviti pertanian dan ternakan secara bersepadu.

Sementara itu, Pegawai JTU Sandakan, Samuel Tan berkata, kerja-kerja pengukuran mengambil masa tiga bulan dan dijangka siap pada hujung Oktober depan.

Seramai sepuluh jurukur ditempatkan di kawasan terbabit bagi menjalankan kerja-kerja pengukuran termasuk merekabentuk jalanraya, lokasi bangunan kerajaan dan kemudahan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak pengukuran PANTAS, Erick Ukil, 53, berasa syukur dengan usaha yang dilakukan oleh Masiung selaku Wakil Rakyat Kuamut sehingga terlaksananya program pengukuran tersebut.

Menurut Erick, penduduk terlibat berasa teruja apabila pengukuran dijalankan dan lebih manis lagi kawasan itu akan diwujudkan sebagai sebuah perkampungan baharu yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti jalanraya, elektrik dan paip air.

“Sebagai wakil penduduk kawasan ini, saya bersyukur kerana penantian kami selama lebih 40 tahun kini berakhir dengan kegambiraan,” katanya. – Warta Oriental

 

Foto: Sahabat DMB


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top