KOTA KINABALU: Mereka mungkin daripada parti politik yang berbeza dengan ada antaranya saling bersaing, tetapi hari ini Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sekali lagi menyaksikan bagaimana perjuangan atas nama ‘hak-hak Sabah’ kembali ‘menyatukan’ beberapa pemimpin politik negeri ini.
Mereka, bersama ratusan rakyat Sabah lain yang terdiri daripada aktivis, kumpulan hak asasi Orang Asal, penyokong parti dan orang perseorangan memenuhi kawasan kompleks tersebut bagi menunggu keputusan perbicaraan mahkamah yang mungkin menyebabkan Putrajaya perlu melaksanakan kewajipan perlembagaannya untuk membayar 40% hak hasil negeri kepada Sabah.
Prosiding berkenaan adalah bagi mendengar rayuan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada November 2022 yang membenarkan semakan kehakiman difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) terhadap kerajaan persekutuan berkaitan isu 40% itu.
Antara pemimpin yang sejak awal berada di komplek tersebut ialah tiga bekas ketua menteri iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Yong Teck Lee serta bekas speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan bekas timbalan ketua menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Turut berada di Mahkamah Rayuan ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Mahkamah Rayuan di sini akan mendengar rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memberi kebenaran kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk semakan kehakiman mengenai kewajipan perlembagaan Putrajaya untuk membayar 40% kepada negeri ini.
Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 11 Nov 2022.
AGC juga telah mendapatkan perintah penangguhan untuk menghalang Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu daripada mendengar merit kes itu sementara menunggu rayuan.
Perbicaraan itu sepatutnya diadakan pada 14 Sept tetapi kemudiannya ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan.
Ia kemudian menetapkan tarikh 16 Mei selepas SLS membantah penangguhan itu.