Hishammuddin Tidak Akan Merayu

hishammuddin.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak akan mengemukakan rayuan atas penggantungan keahlian UMNO selama enam tahun walaupun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kesediaan untuk menimbangkan rayuan pemimpin UMNO yang digantung dan dipecat.

Menurut bekas Naib Presiden UMNO tersebut, tawaran pengampunan bersyarat untuk menerima kembali pemimpin parti yang digantung dan dipecat sebagai tidak masuk akal dan tidak bermakna apa-apa kepada dirinya.

“Yang kita tahu kita kena mohon untuk diterima semula. Keduanya, kena bawa ke jawatankuasa disiplin, tapi bagi saya sampai hari ini, saya tak tahu sebabnya saya digantung. Dan masa saya digantung dulu, Jawatankuasa Disiplin tak pernah panggil untuk siasat, untuk jawab.”

Hishammuddin turut berpendapat tidak ada sebab untuk beliau merayu kerana proses penggantungannya juga tidak adil.

“MT telah pun menggantung saya tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin… yang sekarang ini saya diminta untuk (merayu)… tak masuk akal.”

Hishammuddin melihat tawaran Ahmad Zahid tersebut lebih merupakan usaha menarik sokongan akar umbi.

“Tak masuk akal dan bagi saya, apa yang dicadangkan itu mungkin respon, luahan daripada bawah. Orang nak kita tengok diterima baik. Tapi Itu terserah kepada mereka.”

Dalam temu bual di lobi Parlimen, Hishammuddin mengingatkan pucuk pimpinan UMNO bahawa mereka yang digantung dan dipecat dari parti tidak rugi apa-apa.

“Jadi kalau betul perlukan khidmat kita, sindiran dan tawaran bersyarat tak bawa apa-apa makna kepada diri saya. Bagi saya, kawan yang digantung, pecat ini tak ada rugi. Kita dah digantung. ” tambah Hishammuddin lagi.

Semalam bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang turut menyifatkan kepimpinan UMNO tidak ikhlas dalam menyatakan hasrat untuk menerima kembali ahli yang dipecat atau digantung.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram itu berpendapat pemimpin UMNO hanya mahu terus mempergunakan parti untuk kepentingan diri.

MKT UMNO pada Januari lalu, menggantung keahlian Maulizan berserta Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif selama enam tahun.

Manakala ramai yang dipecat termasuk bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail. – SUARA TV

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top