1.Berita melaporkan hari ini bahawa penghantaran pertama vaksin Covid-19 akan tiba di Malaysia pada penghujung bulan ini. Seperti yang saya tulis bulan lepas, vaksinasi Covid-19 adalah jalan terbaik yang dilihat mampu memberi perlindungan untuk melawan virus ini dari terus menular dan seterusnya dapat memutuskan rantaian jangkitan.
2. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kelmarin bahawa orang ramai perlu mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 bermula Mac ini bagi mengelakkan kesesakan serta pembaziran.
3. Kita harus menunggu pengumuman Kerajaan seterusnya berhubung perkara ini. Sementara itu, carilah sumber-sumber berita yang sahih tentang vaksin Covid-19 ini. Ikutilah perkembangan semasa tentang Program Imunisasi Kebangsaan di laman web rasmi KKM di http://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19
4. Pada waktu kita sedang dibelenggu kebimbangan seperti sekarang, penyebaran berita-berita palsu atau tidak tepat akan membawa panik dan kemudaratan dalam kita memerangi wabak ini.
5. Dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 51,217 setakat 13 Februari, Sabah kini adalah negeri kedua paling teruk diancam Covid-19 selepas Selangor. Awal Januari lepas kita mencatat antara 200 hingga 400 kes baharu setiap hari, dan mempunyai jumlah kes terkumpul yang paling tinggi sekali.
6. Tujuh hari kebelakangan ini menunjukkan trend penurunan jumlah jangkitan di Sabah.
Baca seterusnya di: sallehsaid.com