KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Sabah Net Sdn. Bhd. dalam usaha menaik taraf kelajuan internet di 750 pejabat-pejabat kerajaan kepada kelajuan sekurang-kurangnya 30mbps.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan berkata, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri juga akan memasang dan menaik taraf infrastruktur rangkaian setempat ‘Local Area Network’ (LAN) di 10 pejabat atau bangunan kerajaan setiap tahun.
Katanya, usaha itu dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 yang meletakkan fokus utama untuk ‘Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau’.
Menurutnya, dengan adanya usaha itu, ia dijangka dapat meningkatkan kualiti dan prestasi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.
“Diakui keadaan infrastruktur pembangunan dari segi saling hubungan di negeri Sabah termasuk jaringan internet agak daif dan ketinggalan, jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
“Bagaimanapun, kementerian tidak akan menjadikan ini sebagai alasan untuk tetap terperangkap dalam kemiskinan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Bagi Tahun 2021 di sini pada Isnin.
Baca seterusnya di: Utusan Borneo