TONGOD: Majlis pecah tanah projek klinker dan simen bersepadu bernilai RM1.2 bilion di Kampung Kawayoi Penangah, Sabtu lepas, menjadi acara besar dan gemilang bagi penduduk setempat.
Dianggarkan kira-kira 3,000 penduduk menghadiri majlis itu yang dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik.
Selain acara rasmi, turut diadakan pameran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta jualan Rahmah yang menawarkan harga murah kepada penduduk membeli barangan keperluan harian.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh beberapa artis terkenal, antaranya Baby Shima dan artis tempatan, Datuk Francis Landong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor yang menyempurnakan acara perasmian.
Sempena majlis itu, turut diadakan penyampaian sumbangan sebuah van daripada Masiung kepada SMK Tongod, disaksikan Ketua Menteri.
Sebelum ini, beliau sudah menyerahkan van kepada SMK Entilibon dan SMK Penangah.
Turut diadakan simbolik pelancaran `Citra Kalaga’, iaitu lidah rasmi DUN Kuamut.
Masiung turut mengumumkan dan menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada 22 pasangan pengantin yang baru berkahwin.
Dalam ucapannya, Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) berazam untuk terus membangunkan kawasan yang diwakilinya.