60 tahun menanti, penduduk Kitapol dan Titibar harap kerajaan percepat naik taraf jalan

naik-taraf-jalan.jpg
Kongsi Bersama

KIULU: Lebih 600 penduduk Kampung Kitapol dan Tibabar di sini mengharapkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat untuk membantu mempercepatkan projek naik taraf jalan raya Tomis-Kitapol-Tibabar-Ranap yang sering mengalami kerosakan, terutama pada musim hujan.

Selepas Sabah merdeka sekitar 60 tahun yang lepas, rata-rata penduduk di situ menyimpan impian agar suatu hari mereka merasai nikmat limpahan pembangunan, terutama melihat jalan utama ke pekan Kiulu atau Tamparuli itu berturap.

Kedua-dua Kampung Kitapol dan Tibabar masih kekal dengan keindahan alam semula jadi, termasuk sungai yang bersih.

Namun sebalik keindahan semula jadi itu, penduduknya pula amat terkesan dengan keadaan jalan utama masuk ke kampung mereka yang masih teruk.

Perkara itu diluahkan oleh seorang penduduk Tibabar yang juga pesara kerajaan Loduma Dungui.

Menurut Loduma penduduk kampung sudah lama mengimpikan pembinaan jalan yang lebih selesa untuk melakukan urusan di pekan terdekat Kiulu termasuklah ke hospital dan sekolah.

Katanya, sebelum ini sudah banyak kali penduduk mengemukakan aduan melalui wakil rakyat mereka kepada pihak berwajib mengenai masalah tersebut.

“Namun sehingga kini, tiada jawapan yang menggembirakan.

“Ada juga pemimpin yang datang melawat ke kampung kami termasuk seorang timbalan menteri pembangunan luar bandar dulu dari persekutuan, namun janji yang dilafazkan seumpama ‘janji tarang bulan’ tiada kesudahan,” katanya.

Oleh itu, Laduma yang mendapat sokongan padu anggota Group Media Sosial Kiulu mengharapkan Ketua Menteri untuk memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap rayuan mereka, sekali gus mengabulkan impian mereka selama ini.

Baru-baru ini, Hajiji mengumumkan bahawa kerajaan Sabah meneruskan momentum dalam menguruskan ekonomi seiring dengan komitmen dan semangat untuk menjayakan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) apabila merekodkan hasil kutipan negeri berjumlah RM6.973 bilion pada tahun lepas.

“Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, penduduk Tibabar dan juga Kitapol berharap “terampit” dengan limpahan pembangunan yang bakal dilaksanakan,” kata Laduma.

Seorang penduduk Kitapol Simon Molubi pula berkata sudah tibanya rayuan prnduduk Kitapol dan Tibabar itu diberikan perhatian serius.

“Kami sudah menunggu 60 tahun agar jalan ke Kitapol dan Tibabar ini dinaik taraf atau diturap, dan seeloknya projek naik taraf ini dapat dimulakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Inilah harapan kami dan harapan rakyat Kiulu…ini kali lah,” kata Simon yang juga Naib Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Sabah (PEKADIN).

DUN Kiulu kini diwakili Datuk Joniston Bangkuai manakala Parlimen Tuaran diwakili Datuk Wilfred Madius Tangau.

 

Berita asal: Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top