DMPNS Santuni Pelajar Terbaik SPM 2022 Sabah

Santuni-pelajar.jpg
Kongsi Bersama

SEPANGGAR: Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS) bersama Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Sepanggar telah menyantuni pelajar terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah, Arief Syafiq Ajie Prasastie.

Arief yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu itu telah diumumkan sebagai pelajar terbaik negeri Sabah dengan mendapat keputusan cemerlang 12A (8A+, 3A, 1A-) pada Jun yang lalu.

Anak kedua daripada lima adik-beradik itu, bercita-cita untuk mengikut jejak kedua-dua ibu bapanya untuk menjadi seorang doktor perubatan.

Ketua Skuad Prihatin DMPNS, Nor Azian Shafie berkata, kejayaan Arief diharap menjadi inspirasi kepada ibu bapa dan pelajar lain.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Arief di atas pencapaian yang membanggakan ini.

“Semoga cita-cita yang diimpikan akan menjadi kenyataan dan seterusnya dapat menyumbang bakti kepada agama bangsa dan negara,” katanya.

Azian turut berpesan kepada anak-anak muda khususnya golongan pelajar tentang kepentingan menetapkan matlamat jangka pendek terutama dalam pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang besar seperti SPM.

“Dengan adanya matlamat jangka pendek tersebut akan menjadikan pelajar lebih fokus dan memberi perhatian untuk cemerlang dalam pelajaran,” katanya yang turut menyampaikan hadiah dan saguhati kepada Adik Arief ketika berkunjung di rumahnya, di sini.

Sementara Arief berkongsi rahsia kejayaan dalam SPM, antaranya ialah memastikan persiapan belajar dibuat awal semasa di tingkatan empat lagi, dan sentiasa mengelakkan belajar di saat-saat akhir.

“Di samping itu, konsep belajar dengan menyalurkan ilmu kepada kawan-kawan yang lain juga dapat membantu menambahkan lagi pemahaman dan skil untuk setiap mata pelajaran,” katanya. – HARAKAHDAILY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top