647 menara telekomunikasi baharu di Sabah – Fahmi

fahmi-fadzil.jpg

Fahmi Fadzil (Gambar fail BERNAMA)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sejumlah RM3.61 bilion diperuntukkan di Sabah bagi membangunkan sebanyak 647 menara telekomunikasi di bawah program Pelaksanaan Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia termasuk 398 menara yang sedang giat dilaksana dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Antara faktor menyebabkan kelewatan menyiapkan menara itu ialah kelewatan di pihak kontraktor dan kelulusan di peringkat Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan projek JENDELA siap serta berjalan lancar.

“Saya telah bertemu dengan semua pihak yang terlibat dan mereka telah memaklumkan menjelang hujung tahun ini, keseluruhan hampir 400 menara akan disiapkan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2024 di sini semalam.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan sebanyak 7,065 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara setakat April tahun ini.

Dengan jumlah itu, ketersediaan rangkaian 5G telah mencapai 81.5 peratus liputan di kawasan berpenduduk manakala daripada sudut langganan pula, angka terkini mencatatkan sebanyak 11.9 juta langganan atau 35.4 peratus.

“Pelaksanaan 5G yang pada asalnya dirancang bawah JENDELA 2023-2025 telah diawalkan pada Fasa Satu iaitu penghujung 2021 dan kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Fahmi berkata, liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sabah pula telah mencapai 68.4 peratus setakat suku pertama tahun ini dengan sejumlah 545 daripada 595 tapak 5G yang dirancang telah berjaya disiapkan.

Liputan 4G di kawasan berpenduduk pula telah diperluas hingga 96.92 peratus iaitu melepasi sasaran 96.9 peratus.

Sebanyak 839 komuniti Orang Asli dan kawasan pedalaman mendapat perkhidmatan Akses Jalur Lebar Tanpa Wayar (BWA) melalui satelit di Sarawak, Sabah, perkampungan Orang Asli serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengingatkan orang ramai agar bijak dalam menangkis penyebaran maklumat palsu di media sosial.

Ini kerana terdapat segelintir individu atau pihak cenderung menyebarkan maklumat palsu semata-mata mahu mengelirukan masyarakat.

“Kadang kala kita disajikan dengan content (kandungan) yang recycle (kitar semula)… timbul tahun lalu dan kembali muncul sekarang.

“(Misalnya) berita palsu yang ditularkan… (mengenai) adakah kerajaan melalui SKMM merakam semua tulisan (pengguna) dalam WhatsApp? Ia pernah muncul (tular) dulu dan ia tidak benar,” katanya.

Tambah Fahmi, pihaknya merancang untuk mengadakan kempen keselamatan dalam talian khusus untuk kanak-kanak dan keluarga bermula Ogos ini.

Kempen itu bertujuan menyedarkan masyarakat tentang bahaya penggunaan internet termasuk aktiviti penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top