Shafie bimbang jurang pembangunan antara negeri semakin lebar

shafie-1.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan hari ini melahirkan mengenai kebimbangan jurang pembangunan di beberapa negeri yang berisiko semakin melebar jika tumpuan hanya terarah kepada Selangor dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Datuk Seri Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) menggesa pembahagian peruntukan pembangunan dibuat secara lebih adil dengan tidak hanya tertumpu kepada dua negeri berkenaan.

Presiden WARISAN itu juga khuatir negeri selain Selangor dan Pulau Pinang akan mempamerkan prestasi jauh ketinggalan susulan tumpuan projek dirangka menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) lebih tertumpu kepada dua negeri itu.

“Saya bimbang apa yang berlaku di negara kita, ketidakseimbangan bukan hanya di antara wilayah yang ada, (tetapi) bandar dan luar bandar yang ada amat ketara sekali.

“Saya bimbang banyak tumpuan diberikan kepada kawasan contohnya Pulau Pinang dan Selangor, selepas mendengar pembentangan (Kajian Separuh Penggal RMK12),” katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Sementara itu, Shafie berkata, keutamaan harus diberikan kepada 10 daerah termiskin di negara ini, terletak di Sabah, seiring usaha menoktahkan kemiskinan tegar diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di Kota Marudu, Pitas… untuk pastikan tiada kemiskinan, bukan saja fizikalnya tetapi dari segi sosial masyarakat. Pembinaan negara perlu mengambil kira semua rakyat negara ini, jangan hanya ambil hati rakyat di Pulau Pinang dan Selangor sahaja.

“Kita tahu wilayah ini sudah membangun tapi daerah miskin banyak di tempat lain yang perlu mendapat perhatian di peringkat Pusat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau juga menggesa kerajaan Pusat memberi perhatian serius terhadap kemudahan pendidikan dan kesihatan di Sabah yang ketika ini berada di tahap mengecewakan.

“Bayangkan di Sabah ini hanya ada seorang saja pakar jantung, kalau orang sakit jantung dari Pensiangan, Tenom, malah dari Tawau dan Semporna kena terbang ke KK (Kota Kinabalu). Tak semudah itu.

“Sistem pendidikan yang ada juga amat daif, sekolah tiada elektrik, guru tidak cukup kerana terlalu bergantung guru dari Semenanjung.

“Kenapa kita tak latih anak-anak kita sendiri untuk menjadi guru di negeri kelahiran mereka? Dasar yang sama tak boleh diamalkan secara pukul rata kepada semua kawasan,” katanya. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top