Zon Maritim Lahad Datu gagalkan cubaan bom ikan

bot-bom-ikan.jpg

Bot dan barangan lain yang berjaya dirampas.

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot pam yang disyaki cuba melakukan aktiviti bom ikan pada kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika di kawasan perairan Pulau Sakar, Lahad Datu di sini, pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, hasil rondaan yang dilakukan, bot peronda Maritim Malaysia menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris berjaya mengesan sebuah bot pam berwarna biru dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 2.15 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 26, iaitu menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

“Dua orang lelaki dewasa yang menaiki bot terbabit bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan terjun dan berenang ke pesisir daratan berhampiran selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, bot terbabit kemudian ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, turut dirampas sebuah enjin bot, sebuah kompressor, enam botol bom ikan, peralatan menyelam dan lima set jaring menyimpan ikan.

“Komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan agar tidak melakukan aktiviti bom ikan ini kerana ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga membahayakan nyawa pelaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.

“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu.

“Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089 885727 atau MERS 999,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top