Sabah peruntuk RM16.89 juta untuk perkasa golongan belia

CM-belia.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM16.89 juta dalam Bajet 2024 bagi bertujuan memperkasakan belia untuk mencapai kesejahteraan sosio-ekonomi.

Selaras dengan Dasar Belia Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata bajet itu adalah untuk pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti kemahiran kepimpinan dan keusahawanan.

Beliau berkata antara program berimpak tinggi yang diteruskan kerajaan ialah Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) dan Dewan Belia Sabah (DBS).

Katanya, modal insan adalah salah satu elemen penting untuk meningkatkan produktiviti dan potensi pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri.

“Justeru, agenda pembangunan modal insan akan terus dititikberatkan dalam usaha melahirkan belia yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berfikiran kelas pertama,” katanya semasa pelancaran Karnival Belia Sabah 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata belia juga perlu sedar bahawa mereka adalah pemimpin semasa dan masa depan negara, khususnya untuk Sabah.

Justeru, katanya, adalah penting bagi mereka untuk sentiasa menuntut ilmu, menjaga kesihatan dan memupuk sikap yakin untuk kemajuan Sabah Maju Jaya.

“Kejayaan negara memperoleh pelaburan RM10.5 bilion daripada Microsoft Corp dalam Teknologi Awan (Cloud) dan Kecerdasan Buatan (AI) baru-baru ini merupakan alasan yang kukuh untuk melengkapkan belia Sabah dengan kemahiran teknologi berkenaan.

“Bagi memastikan Sabah bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian 5.0 (IR 5.0), kita perlu melihat potensi dan bakat yang ada serta memperkasakan belia Sabah dengan pelbagai kemahiran.

“Ini kerana golongan belia adalah aset penting dalam memajukan negeri dan negara ke arah masa depan yang lebih cerah.”

Tambahnya, Karnival Belia Sabah yang diadakan setiap tahun merupakan platform penting untuk belia, kerana ia bukan sahaja menggilap dan menonjolkan potensi generasi muda Sabah tetapi juga memupuk kepimpinan dan kesukarelawanan sambil menghargai peranan mereka dalam pembangunan negeri.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita melaksanakan program dan aktiviti mengikut trend semasa, sesuai dengan kecenderungan semasa belia, seperti program reskilling dan upskilling, pertandingan sukan dan kemahiran, pameran, dan forum bagi memberi peluang kepada belia untuk belajar, bertukar-tukar idea dan memacu pembangunan diri yang holistik,” ujarnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top