SEDIA Agih 300 Bantuan Motosikal di Bawah Inisiatif BIZRIDER300

hajiji-motosikal.jpg

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan kunci motosikal kepada penerima pertama, Abdullah Abdul Han dengan disaksikan oleh Ketua Eksekutif Sedia Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan dan Pengarah Urusan Delivery Hero (M) Sdn Bhd Sayantan Das.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seramai 300 penerima di negeri ini mendapat bantuan berbentuk motosikal menerusi Inisiatif BIZRIDER300 yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kesemua bantuan motosikal berkenaan akan diagihkan secara berperingkat ke bandar utama di pantai barat dan pantai timur Sabah.

Katanya, sebanyak 736 permohonan diterima untuk bantuan berkenaan sekali gus melebihi sasaran bantuan 300 motosikal yang diperuntukkan oleh SEDIA.

Menurutnya, kerajaan akan meneruskan dan memperluaskan lagi program berkenaan bagi memberi peluang lebih ramai pemohon mendapat bantuan, terutama dalam kalangan belia yang tiada pekerjaan atau kehilangan punca pendapatan.

“Inisiatif BIZRIDER300 yang dimulakan oleh SEDIA ini tercetus kerana kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap kemiskinan dan belia menganggur di Sabah.

“Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak penghujung 2019 menyebabkan keadaan ekonomi global tidak menentu  termasuk di negara ini.

“Keadaan itu menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, selain ada yang terpaksa balik kampung dan tidak kurang juga yang terus berjuang meneruskan kehidupan di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penyerahan Bantuan Motosikal BIZRIDER300 di sini pada Khamis.

Hajiji berkata, golongan belia tidak akan sesekali diabaikan dan sebagai generasi masa depan, agenda pembangunan belia perlu dilaksanakan dengan berpandukan tuntutan semasa dan cabaran mendatang.

“Kerajaan secara konsisten membantu dan menggalakkan penglibatan mereka dalam ekonomi melalui pelbagai inisiatif pendidikan, pembangunan modal insan, pasaran pekerjaan dan di dalam eko-sistem perniagaan.

“Saya  juga mahu semua kementerian, agensi, jabatan, syarikat besar, dan pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk turun padang dan mendengar suara rakyat bagi mendapatkan input dalam merangka program yang benar-benar diperlukan oleh rakyat.

“Program yang dibuat juga haruslah disesuaikan dan dipermudahkan agar lebih ramai mendapat akses serta manfaat,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam Belanjawan 2022 Negeri Sabah,  kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

Katanya, inisiatif berkenaan melibatkan bantuan kepada para usahawan belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bantuan memulakan perniagaan.

Menurutnya, Inisiatif BIZRIDER300 yang dijalankan oleh SEDIA dengan kerjasama syarikat seperti Foodpanda, perniagaan yang berorientasikan digital  membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dengan melakukan penghantaran makanan dan keperluan harian.

“Saya dimaklumkan ada lebih 5,000 orang berdaftar sebagai rakan penghantar foodpanda di seluruh Sabah. Oleh itu saya mengalu-alukan syarikat foodpanda dan syarikat-syarikat yang lain untuk memperluaskan kawasan liputan termasuk ke kawasan luar bandar,” katanya.

Para penerima bantuan berkenaan turut mendapat tawaran pekerjaan secara terus sebagai rakan penghantar Foodpanda.

Turut hadir, Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top