KOTA KINABALU: Seramai 40 pelajar Sabah menerima tajaan pendidikan peringkat menengah daripada anak syarikat PETRONAS, PETRONAS Floating LNG.
Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Datuk Bacho Pilong berkata, program tersebut menempatkan pelajar tingkatan satu ke sekolah-sekolah terkemuka di Semenanjung Malaysia serta tajaan pendidikan pelajar tingkatan empat di sekolah-sekolah terpilih negeri ini.
“Inisiatif ini bertujuan memupuk potensi pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan memanfaatkan minat mereka dalam aspek teknikal serta kejuruteraan.
“Pembangunan modal insan kekal menjadi antara keutamaan PETRONAS dalam menghadapi keperluan semasa dan masa hadapan kerana kami sentiasa percaya pendidikan adalah kunci memperkasakan komuniti.
“Diharapkan program ini dapat membantu pelajar terpilih menyedari potensi masing-masing dan berusaha ke arah mencapai aspirasi kerjaya,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PETRONAS di sini, pada Khamis.
Tajaan pendidikan yang dijalankan dengan kerjasama Kumpulan Yayasan Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri melalui program impak sosial dikenali sebagai PETRONAS Powering Knowledge itu disampaikan oleh wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe.- JAPEN Sabah