DBKK jalankan pemeriksaan, penggredan 13 premis makanan

DBKK.jpg

Anggota DBKK ketika membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah premis makanan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) giat menjalankan aktiviti pemeriksaan dan penggredan membabitkan sebanyak 13 premis makanan.

Pememriksaan berkenaan dijalankan pada 25 dan 26 April lepas di beberapa lokasi sekitar bandar raya termasuk Taman Putera Jaya, Telipok, TNK Commercial Centre, Plaza Tanjung Aru, dan Plaza Alamesra.

Menurut kenyataan DBKK, tindakan itu bagi memastikan keselamatan makanan di setiap premis terjamin dan selamat dimakan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak sembilan premis makanan digredkan iaitu tiga premis mendapat Gred A, lima premis mendapat Gred B dan satu premis mendapat Gred C.

Selain itu, empat premis makanan lagi adalah pemeriksaan susulan. Penarafan Bintang Tandas juga dijalankan di premis makanan yang diperiksa.

Empat premis makanan mendapat tiga bintang ke atas manakala, lima premis lagi mendapat dua bintang ke bawah.

Kesemua premis diberi teguran dan nasihat untuk membuat pembersihan dan penambahbaikan terhadap tandas premis masing-masing.

Sementara itu, sebanyak lima premis didapati ada menjalankan kawalan makhluk perosak (pest control) di premis mereka, manakala empat premis lagi belum membuat kawalan terbabit.

Keempat-empat premis berkenaan diberi teguran dan arahan untuk membuat kawalan makhluk perosak bagi mengawal kehadiran lipas, lalat dan tikus di premis mereka.

Sepanjang tempoh pemeriksaan, beberapa penemuan dikenal pasti iaitu terdapat pengendali makanan yang tidak mempunyai Kad Pengenalan Pengendali Makanan, pengusaha premis menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan pencucian di kawasan kaki lima, pengendali makanan tidak mempunyai sijil kursus Latihan Pengendali Makanan, pengusaha premis tidak memiliki Sijil Kesihatan yang sah dan perangkap lemak tidak diselenggara dengan baik setiap masa.

Justeru, lima Notis Penambahbaikan dikeluarkan ke atas beberapa premis bagi setiap penemuan yang dikenal pasti.

Dalam pada itu, dua kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 atas kesalahan pengusaha premis tidak mempunyai Sijil Kesihatan yang sah serta menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan pencucian peralatan di kawasan kaki lima.

DBKK terus komited dalam memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin dengan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan di Bandaraya Kota Kinabalu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top