Peti Ais Penyimpanan Mayat Antara Keperluan Mendesak Hospital Tenom – Riduan

riduan.jpg

Riduan semasa melawat dan meninjau keadaan Hospital Tenom. (Kredit foto: FB Riduan Rubin)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Warga Tenom menaruh harapan tinggi kepada Menteri Kesihatan yang baharu Dr Zaliha Mustafa agar mendengar rintihan mereka bagi mendapatkan kemudahan kesihatan yang lebih baik.

Ini termasuklah keperluan menggantikan peti sejuk mayat atau jenazah di bilik mayat Hospital Tenom.

Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin berkata masalah kerosakan pada peti sejuk terbabit membebankan rakyat berikutan mayat terpaksa dihantar dan disimpan di Hospital Keningau.

Dalam kes tertentu, menurutnya, sebahagian jenazah terpaksa dikebumikan segera kerana tiada tempat simpanan untuk menyimpan mayat.

“Masalah kerosakan peti sejuk tempat simpanan mayat di Hospital Tenom sudah berlaku sekian lama dan saya berharap KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dapat menyelesaikan masalah itu dalam kadar segera demi kemudahan rakyat Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di hospital tersebut selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Riduan berkata fisiliti lain yang memerlukan perhatian KKM adalah keadaan bilik bedah siasat yang sudah daif dan kekurangan mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang.

Tambahnya hospital itu juga berhadapan masalah air yang berpunca daripada kapisiti tangki yang tidak mencukupi untuk menyimpan air, masalah kekurangan mesin rawatan dan peralatan hospital yang tidah berfungsi dengan baik disamping keadaan hospital yang daif.

Katanya pihak Hospital Tenom sudah memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu utama itu selewat-lewatnya akhir Disember ini.

“Sudah tiba masanya KKM menaik taraf Hospital Daerah Tenom dan menggantikan mesin serta peralatan lama dengan peralatan baharu kerana rakyat mengharapkan perkhidmatan kesihatan yang baik dan berkualiti daripada Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap Menteri Kesihatan baharu, Dr.Zaliha Mustafa akan memberi keutamaan kepada rayuan penduduk Tenom yang mengharapkan perkhidmatan kesihatan yang baik disamping infrastruktur kesihatan yang mencukupi,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top