Pandikar gesa Hajiji rombak pentadbiran negeri secara besar-besaran

ts-pandikar-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABAlU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, perlu melakukan rombakan besar-besaran membabitkan pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, rombakan itu perlu bermula dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hingga ke pejabat daerah di seluruh negeri.

Beliau berkata ini sebagai maklum balas kepada pelantikan Tengku Ahmad Fuad Tengku Burhanuddin sebagai peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Sabah dalam mengendalikan permohonan semakan kehakiman Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Saya amat terkejut apabila mengetahui Tengku Datuk Fuad sebenarnya dilantik oleh Pejabat Peguam Negeri melalui surat bertarikh 8 Jun 2022, sebagai peguam mewakili kerajaan negeri Sabah dalam kes permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-undang Sabah ( SLS) vs Kerajaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pandikar berkata surat pelantikan itu mengejutkan kerana Ketua Menteri telah memberitahu presiden parti-parti komponen GRS pada 17 Mei, bahawa Tengku Datuk Fuad tidak menerima sebarang perlantikan daripada kerajaan negeri.

Pandikar berkata hujah Fuad di mahkamah bahawa SLS tidak mempunyai locus standi untuk semakan kehakiman mengenai hak negeri adalah “penjelasan yang harus dibuang ke dalam tong sampah, memalukan pejabat Peguam Negara Sabah.”

Tambah beliau, tindakan Peguam Besar Negeri yang tidak mengambil serius terhadap kes yang sangat penting untuk rakyat Sabah jelas tergambar dengan ketidakhadirannya pada perbicaraan itu.

“Beliau bukan sahaja berada di luar negara pada hari perbicaraan, malah tiada pegawai dari Jabatan Peguam Negeri yang hadir menemani Fuad di mahkamah.

“Sikap sebegini menggambarkan pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Sabah yang mengharapkan kerajaan negeri bekerjasama dengan peguam Sabah dan tidak menentang mereka,” tegas beliau.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top