Gangguan Elektrik Di HQE 1: Terpaksa Guna Lampu Suluh Di Dewan Bedah

QEH-lampu.jpg

Kakitangan perubatan terpaksa membeli lampu suluh susulan gangguan bekalan elektrik yang julung kali berlaku sejak menara berkembar HQE1 mula digunakan pada 2014. (Gambar JKNS)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kakitangan perubatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) di sini berada dalam “keadaan panik” ketika terpaksa merawat pesakit tanpa bekalan elektrik kelmarin.

Seorang kakitangan yang enggan dinamakan berkata, mereka sangat terkejut kerana ini julung kali gangguan bekalan elektrik berlaku sejak menara berkembar HQE1 mula digunakan pada 2014.

“Ia sangat gelap di dalam dewan bedah sehingga mereka terpaksa membeli lampu suluh.

“Selain itu, petugas juga terpaksa menggunakan lampu suluh di unit rawatan rapi (ICU). Bagaimanapun, keadaan di dalam wad tidaklah begitu teruk kerana masih ada cahaya dari luar memancar ke dalamnya,” katanya kepada FMT.

Gangguan bekalan elektrik itu berlaku pada 11.54 pagi kelmarin membabitkan menara berkembar, klinik pakar dan blok perubatan lama HQE1.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin dilaporkan berkata, gangguan bekalan elektrik itu menyebabkan sejumlah pesakit dan kes pembedahan terpaksa dipindahkan ke HQE2 di Damai.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut membantu dengan membawa dua set penjana kuasa tambahan ke bahagian terjejas di hospital itu.

Beliau berkata, dewan bedah HQE1 terpaksa ditutup sepanjang semalam dan hari ini bagi memastikan bekalan elektrik ke fasiliti lain, seperti wad dan ICU mencukupi serta stabil.

Seorang pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Koduwot, 42, berkata, dia dan beberapa pesakit lain terpaksa berpanas di dalam wad kerana tiada penghawa dingin dan kipas akibat gangguan bekalan elektrik.

Dia baru menjalani pembedahan buah pinggang kelmarin dan dimasukkan ke wad untuk pemantauan serta rawatan lanjut.

“Teruk (keadaan dalam wad), kami terpaksa menahan panas, mujurlah hujan, jadi panas kurang sedikit.

“Selain itu, kami juga terpaksa bergelap sedikit kerana pihak hospital hanya menggunakan beberapa lampu yang menggunakan bateri.

“Doktor juga memberitahu saya, semua pembedahan ditangguhkan, ada (pembedahan) yang sedang berjalan terpaksa jahit balik selepas bekalan elektrik terputus…mujur saya selamat menjalani pembedahan lebih awal.”

Katanya, pihak hospital sepatutnya mempunyai pelan kecemasan lebih baik dan tidak membiarkan masalah itu berlarutan untuk tempoh agak lama.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar berkata, pemeriksaan ke atas bekalan yang disalurkan SESB ke HQE1 mendapati kabel miliknya dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Punca gangguan bekalan adalah pada sistem dalaman hospital. Pemeriksaan lanjut mendapati punca gangguan bekalan di bangunan hospital tersebut disebabkan kerosakan kabel bawah tanah 11kV milik HQE.”

Katanya, dua set penjana kuasa mudah alih SESB digunakan untuk menampung keperluan bekalan elektrik di HQE1 sementara kerja mengesan kerosakan kabel dijalankan.

“SESB juga bersedia membantu pihak hospital melakukan ujian dan mengesan lokasi kerosakan kabel berkenaan, jika diperlukan.”

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top