KUALA LUMPUR: Bayangkan penerbangan anda ditunda dua kali untuk jangka masa lebih 17 jam sedangkan anda mempunyai pelbagai komitmen lain yang menanti.
Itulah yang dialami oleh Sh Ismail Alif, 42, bersama isterinya serta sejumlah penumpang pesawat Air Asia yang menjadi ‘mangsa’ tindakan syarikat penerbangan itu menunda dan menjadualkan semula penerbangan di saat-saat akhir sehingga isu itu tular di media sosial.
Harian Metro melaporkan, jadual asal penerbangan SH Ismail ialah pada jam 9.20 pagi Ahad dari Sandakan ke Kuala Lumpur. Ia ditunda kepada 11.25 malam dan akhirnya ditangguh lagi sehingga jam 2 pagi hari berikutnya.
“Kami hanya sampai ke rumah (dari Klia2) di Shah Alam sekitar 7.30 pagi, kelewatan penerbangan ini menjejaskan perancangan saya, malah ia menyebabkan isteri saya lewat ke tempat kerja,” luah Sh Ismail Alif, 42.
Dia menyifatkan tindakan AirAsia itu tidak bertanggungjawab kerana penjadualan semula penerbangan juga terlalu lewat sehingga 2 pagi, malah ada penerbangan dijadualkan hampir 3 pagi.
“Usah ambil ringan isu ini, ia menyebabkan ramai penumpang terjejas dengan pindaan penerbangan saat akhir tanpa penjelasan yang munasabah.
“Saya terpaksa mengambil cuti kerja, isteri saya (Noorena Wahab, 40) yang bekerja sebagai penjawat awam terpaksa datang lambat ke tempat kerja,” katanya ketika dihubungi, pada Selasa.
Hari sama, wartawan Harian Metro yang sepatutnya mengikuti penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur turut menerima nasib sama seperti Sh Ismail apabila jadual penerbangan 9.15 malam, ditunda kepada 1 pagi esoknya.
Tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mendapati penerbangan ke ibu kota bermula 6 petang sehingga 11 malam rata-ratanya ditunda sehingga 2.40 pagi berikutnya.
Kaunter penerbangan AirAsia di lapangan terbang itu juga sesak berikutan masalah pada kiosk cetakan pas penerbangan dan tag bagasi.
Penumpang juga merungut kerana ada antara mereka terpaksa ‘bermalam’ di lapangan terbang bersama anak kecil berikutan penundaan penerbangan yang sangat lewat.
Ahli politik Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang turut mengalami nasib sama membidas AirAsia dan berkata, syarikat penerbangan itu tidak sepatutnya menunda dan menjadualkan semula penerbangan sesuka hati tanpa mengambil kira kesulitan dan kos ditanggung pelanggan.
“Saya sudah melalui situasi ini beberapa kali bersama syarikat penerbangan yang sama, tetapi ini kali pertama penerbangan saya ditunda semula dua kali berturut-turut dan tiba 3.30 pagi keesokannya (di Kuala Lumpur),” katanya di laman rasmi Facebook beliau, semalam.
Semakan Harian Metro mendapati penundaan dan penjadualan semula penerbangan itu tidak hanya membabitkan penerbangan di Sabah dan Sarawak sahaja, malah seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Johor dan Langkawi, selain beberapa penerbangan antarabangsa.