KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berjaya merampas 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian ayam seperti sayap, peha dan dada bernilai RM2,722,604.
Timbalan Pengarah (Gerakan) JKDNKA Bukit Aman Datuk Hishamuddin Tahar berkata kesemua rampasan dibuat dalam empat serbuan berasingan yang dijalankan di Sandakan pada 27 September lalu.
“Berdasarkan risikan yang dijalankan pihak Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Veterinar Sandakan, kita melaksanakan empat serbuan terhadap sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku yang bergiat aktif di negeri terbabit.
“Sepanjang serbuan dijalankan, seramai sembilan individu termasuk lima lelaki warga tempatan dan empat lelaki warganegara asing diperiksa.
“Pasukan serbuan kemudian merampas 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian ayam seperti sayap, peha dan dada dengan jumlah nilai rampasan yang dianggarkan RM2,722,604,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Enakmen Haiwan 2015.
Menurutnya PDRM melalui JKDNKA sebelum ini juga melaksanakan pelbagai operasi termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah.
Tambahnya turut dirampas ialah ubat-ubatan palsu serta barangan tidak berkastam, makanan sejuk beku, haiwan dan hidupan liar serta pelbagai barangan kawalan.
“Bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini, WCB/PSK berjaya melakukan lapan serbuan di Sabah dan dua serbuan di Sarawak.
“Kesemua serbuan ditumpukan terhadap kumpulan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM44,281,391.70,” katanya.
Hishamuddin berkata PDRM melalui JKDNKA sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.
“Operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain akan diteruskan dari semasa ke semasa dan penglibatan serta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Utusan Borneo