Penanaman Kelapa Hibrid Seluas 500 Ekar Di Kudat

kelapa-hibrid.jpg

Syaheddrul (lima dari kanan) dan Bahrul (kanan) bersama wakil-wakil agensi .

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: 500 ekar tanah milik Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (SAFODA) di Kudat akan ditanam dengan kelapa hibrid.

Pengurus Besarnya, Bahrul Razha Chuprat berkata, ia adalah projek percubaan Mingxi Plantation Sdn Bhd dan merupakan projek pertama seumpama itu dijalankan di Sabah.

“Adalah diharapkan SAFODA akan dapat menjana pendapatan baharu daripada usaha niaga ini,” katanya.

Di bawah usaha sama itu, Mingxi Plantation Sdn Bhd akan menyewa tanah daripada SAFODA untuk tempoh penyewaan selama 30 tahun.

Kelapa hibrid yang akan ditanam berasal daripada genus Sampoorna yang khusus.

Ketua Pegawai Eksekutif Mingxi Plantation Sdn Bhd (Mingxi) Datuk Wira Richard Lau berkata pihaknya berharap dapat bekerjasama rapat dengan SAFODA dalam usaha itu dan berharap dapat mengembangkan kawasan untuk perladangan pada masa hadapan.

Mereka yang hadir pada sidang media yang diadakan di hotel Hyatt Kinabalu dekat sini baru-baru ini difahamkan bahawa Mingxi mampu menanam 70 pokok setiap ekar tanah dan setiap pokok mula berbunga dalam tempoh 24 bulan dan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 200 biji.

Mingxi juga bercadang untuk menjalankan pemprosesan hiliran kelapa yang dihasilkan sambil turut menjual air kelapa.

Pada mulanya, Mingxi berharap dapat memenuhi permintaan tempatan dan bergantung kepada keluasan, merancang untuk mengeksport ke Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, pada majlis sama, Keningau Agro-Venture Sdn Bhd (KAVSB) membayar dividen kepada pemegang sahamnya iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB), SAFODA dan kerajaan Sabah.

Pengarah Urusan KAVSB Syaheddrul Joddari berkata mereka mula beroperasi pada 2010 dengan memfokuskan kepada ladang kelapa sawit di Keningau.

“Ini adalah dividen pertama yang dibayar kepada pemegang saham kami,” katanya.

Tambahnya, KAVSB telah menanam 5,000 hektar daripada 8,000 hektar dengan kelapa sawit, dan merancang untuk menceburi kilang komersil bagi kawasan selebihnya kerana ia tidak sesuai untuk kelapa sawit.

SAFODA menerima bayaran dividen RM1,050,000 daripada KAVSB, manakala SLDB menerima RM1,800,000 dan kerajaan Sabah menerima RM150,000.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top