KUALA LUMPUR: Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat merupakan lima kawasan yang dijangka mengalami hujan berterusan tahap buruk esok, demikian berdasarkan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, luruan monsun yang sedang berlaku sehingga 27 Disember ini (Selasa) berpotensi membawa angin kencang dan ombak besar di Laut China Selatan, perairan pantai timur Semenanjung Sabah dan Sarawak.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, satu sistem cuaca bertekanan rendah terbentuk dI Laut Sulu pada 24 Disember (semalam) dan seterusnya dijangka bergerak merentasi Sabah.
“Justeru, amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan di kawasan Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat, Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, amaran hujan berterusan tahap waspada juga dikeluarkan untuk Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan sesetengah kawasan pedalaman Sabah, berkuat kuasa esok.
“Kawasan terbabit ialah Labuan; Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Pantai Barat, Sabah.
“Di Sarawak, kawasan terbabit ialah Subis, Beluru, Miri, Marudi dan Limbang,” katanya.
Katanya, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu dijangka berlaku sehingga Selasa ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan atau hubungi talian hotline MetMalaysia 1300221638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.\
Sumber: HMetro