GLC, pelabur baharu wajib sedia peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar – Hajiji

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelabur baharu di Sabah wajib menyediakan peluang pekerjaan untuk individu tergolong dalam senarai e-Kasih dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan tersebut.

Justeru katanya Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) telah diberi tanggungjawab untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar dengan melaksanakan usaha dan pelbagai inisiatif.

Antaranya menyediakan sebanyak 1,500 buah rumah untuk mereka yang kurang berkemampuan, pemberian bantuan modal perniagaan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, katanya.

“Usaha membasmi kemiskinan sentiasa menjadi satu perjuangan yang diutamakan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Pusat Kebudayaan Bajau Samah, Lok Batik di sini malam tadi.

Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Khamis lalu dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat bahawa kemiskinan tegar di Sabah direkodkan pada kadar 1.2 peratus berbanding kadar nasional sebanyak 0.2 peratus.

Rafizi berkata laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 menunjukkan kadar kemiskinan tegar di lapan daerah di negeri itu adalah lebih tinggi berbanding kadar nasional dengan Tongod mencatat kadar tertinggi iaitu 5.9 peratus.

Ia diikuti Beluran iaitu 5 peratus, Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (4 peratus), Tuaran (2.6 peratus), serta Ranau dan Lahad Datu masing-masing 2.4 peratus, katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top